Title:

mobicow

Media Sosial Di Kalangan Remaja





Risau apabila memikirkan masalah sosial yang berleluasa sekarang. Tambahan pula yang melibatkan anak-anak remaja melayu Islam kita. Sedih bila kita dengar kes-kes kelahiran luar nikah yang saban hari semakin meningkat di kalangan remaja Islam. Pengalaman saya bekerja di hospital boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja kelahiran luar nikah direkodkan dan perlu dikaunseling oleh ustaz dan kaunselor. Siapakah yang patut disalahkan? Itulah soalan yang patut ditanya kepada diri kita sendiri. Ibu ayah sudah cukup mendidik, cikgu-cikgu di sekolah juga telah menjalankan tanggungjawab mereka. Jadi, di manakah silapnya? Tepuk dada, tanyalah diri kita sendiri...

Aplikasi media sosial seperti whatsapp, wechat, instagram, fb, twitter, telegram dll adalah suatu aplikasi yang memudahkan urusan seharian. Tidak dinafikan ia juga merupakan salah satu medium utama penyebab berlakunya gejala sosial di kalangan remaja pada hari ini. Hasil temubual dengan remaja-remaja yang melahirkan anak luar nikah kebanyakannya adalah bermula dengan pengenalan mereka bersama rakan-rakan lelaki di media sosial terutamanya melalui aplikasi wechat. Saya kadang-kadang hairan kenapa murahnya harga diri mereka sehingga sanggup mengadai maruah kepada lelaki yang baru sahaja dikenali melalui aplikasi tersebut.

Lelaki memang mudah untuk mengeluarkan ayat-ayat manis bagi tujuan memerangkap remaja perempuan yang mungkin dahagakan kasih sayang sehingga mereka sanggup mengadakan hubungan terlarang dan akhirnya mengandung anak luar nikah. Akibatnya yang menanggung adalah remaja perempuan tersebut. Bagi lelaki pula, habis madu sepah dibuang. Akhirnya merana lah perempuan tersebut dek kerana perbuatan dia sendiri yang tidak berfikir panjang. Sebab itu saya suka sebut pada mereka bahawa wanita akalnya pendek. Dah terantuk baru tengadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, jadilah ibu di usia muda.. Masa ni la mereka nak menangis, tertekan, dan lebih buruk akibatnya jadi kemurungan. So, kepada semua remaja wanita, anda perlu ingat bahawa diri anda sudah tidak berharga lagi sekiranya anda mudah untuk didekati dan didapati oleh mana-mana lelaki yang bukan mahram. Ia seolah-olah barang second hand yang mudah untuk kita dapatkan di mana-mana tempat jika nak dibandingkan dengan barangan original yang agak sukar untuk kita perolehi melainkan dengan berusaha bersungguh-sungguh dan melalui beberapa pengorbanan.

Sebagai pengguna telefon pintar, kita perlu menggunakannya dengan cara yang betul dan berhemah terutamanya kepada remaja-remaja di luar sana yang sudah pasti tidak akan membaca tulisan ini. Aplikasi yang wujud di telefon pintar pada masa kini seolah-olah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kesan daripada teknologi ini sebenarnya lebih banyak negatifnya daripada positif. Bagaimana 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin anak-anak kita sudah sukar untuk kita kawal lagi. Mungkin juga aplikasi yang wujud di dalam telefon pintar makin canggih dan moden sehingga sukar untuk kita bayangkan oleh akal fikiran kita pada masa sekarang. Apatah lagi aplikasi-aplikasi yang telah ada pada hari ini adalah suatu yang kita sendiri tidak menyangkakan kewujudannya. Begitulah masa sentiasa berputar dan zaman pun semakin berubah dengan cara yang berbeza. Nak atau taknak, kita terpaksa terima kewujudannya kerana ianya tidak dapat ditahan oleh masa ataupun sesiapa.

Jadilah pengguna yang bijak yang sentiasa meletakkan Islam sebagai tempat berpaut untuk kita menjalani kehidupan seharian tambahan pula dengan zaman yang serba canggih pada masa-masa akan datang. Saya sangat setuju kerja dakwah yang dijalankan oleh karkun (orang kita panggil orang tabligh) yang dilaksanakan di seluruh dunia pada masa sekarang. Mereka mendekati semua lapisan masyarakat dengan mengajak melakukan kebaikan dan mengajak orang ramai untuk pergi ke surau dan masjid yang berdekatan untuk solat berjemaah. Mungkin ini yang diperlukan oleh anak-anak muda zaman sekarang. Apabila kita jauh daripada Allah, pelbagai ujian Allah akan beri sebagai peringatan kepada kita agar kita ingat akan Dia. Semua orang ada tanggungjawab yang berat bagi memastikan anak muda zaman sekarang menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara kerana merekalah aset negara kita pada masa akan datang. Wallahualam... 



TIPS MUDAH JADIKAN KERJA SEBAGAI IBADAH

Assalamualaikum w.b.t.. 

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas izin dan kurniaNya kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan dunia yang sementara di atas muka bumi Allah yang penuh dengan cabaran dan ujian ini. Apa yang penting dalam kehidupan kita adalah matlamat hidup iaitu beribadah kepada Allah S.W.T dalam keadaan apa jua sekalipun.

Tuan Puan Yang dimulikan, setiap bidang kerja yang kita lakukan sebenarnya tidak dapat lari daripada pandangan Allah S.W.T. Hendaklah sentiasa beringat supaya kerja yang kita lakukan saban hari tidak menjadi sia-sia dengan perkara yang lagha dan tiada faedahnya. Jadikan kerja kita sebagai ibadah yang akan memberikan pahala kepada kita. Ini kerana 1/3 daripada kehidupan kita sebenarnya telah berlalu di tempat kerja tanpa kita sedari. Saya bahagikan ia seperti ini iaitu 8 jam kita tidur, 8 jam kita bekerja, 8 jam kita berehat. Alangkah rugi sekiranya watu kerja yang kita habiskan di tempat kerja berlalu tanpa sebarang manfaat untuk hari akhirat kita. Waktu tidur sudah tentu kita guna dengan sebaiknya dan mungkin juga lebih masa kita gunakan untuk tidur (sedangkan yang sepatutnya kita perlu mengurangkan waktu tidur kerana siangnya kita telah penat bekerja dan waktu malam adalah saat yang paling sesuai untuk kita beribadah). 

Di sini saya ingin berkongsi kepada tuan puan beberapa tips mudah bagaimana menjadikan kerja kita sebagai ibadah. Mudah-mudahan ada manfaat untuk tuan puan amalkan..

1. Amalkan sebar salam kepada semua orang. Apabila kita berjumpa dengan sesiapa samada kita kenal atau tak, kita bagi je salam. Ini kerana ia merupakan sunnah nabi Muhammad S.A.W. Nabi S.A.W akan terlebih dahulu memberi salam kepada sahabat r.a sebelum sahabat sempat memberi salam kepada baginda. Jadikanlah Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan. 

2. Sentiasa senyum. Jadikan amalan senyum sebagai rutin harian. kalau rasa susah nak senyum, sentiasa la sebut nombor 3 ketika tuan puan berjalan. InsyaAllah tuan puan akan sentiasa tersenyum. Bila kita senyum, orang secara automatik akan senyum semula kepada kita. Apabila orang senyum kepada kita, itu bermakna mereka senang dengan kita.. so, senyumlah, xperlu kata apa2..

3. Sangka baik. Sentiasa bersangka baik dengan manusia akan menjadikan hati kita bersih. Apabila hati bersih, nilai-nilai positif senang diserap oleh hati dan diri kita. Jadi jangan kita berburuk sangka dengan rakan-rakan sekerja kita.

4. Panggil rakan-rakan dengan panggilan yang menyenangkan. Jangan memanggil rakan sekerja dengan panggilan yang mereka tidak suka. Sebagai contoh, kawan kita yang gemuk kita panggil dia si gemuk. Kalau kurus pulak si lidi dan lain-lain nama yang tidak menyenangkan. Ini akan menyebabkan mereka terasa hati dan lebih teruk mungkin mereka akan menjauhkan diri daripada kita.

5. Bantu membantu. Perkara yang paling senang adalah kita bantu rakan kita yang memerlukan. Bantuan disini bukan bermakna dari segi kewangan sahaja tetapi adalah lebih kepada bantuan tenaga. Jika kita mengamalkan sikap bantu membantu ini, kita akan dapat kesannya di saat kita memerlukan bantuan. Percayalah yang Allah itu maha adil terhadap hamba-hambanya.

6. Hormat mengormati. Perkara yang susah sangat orang kita nak buat ialah hormat. Ramai orang susah nak hormat orang lain jika diri dia tidak dihormati. Itu normal. So, apa kata kita mulakan dulu dengan hormat kepada semua orang tak kira siapa pun dia, waima tukang kebun, cleaner, pakcik jaga ataupun siapa sahaja. kenapa saya jadikan mereka sebagai contoh? sebabnya merekalah yang biasanya ramai orang tidak pandang. Apatah lagi untuk dihormati (tapi tidak semua orang yang macam ni). Apabila kita hormat semua orang, percayalah bahawa orang semua akan hormat kepada kita. kalau tak percaya boleh try....

Cukup setakat ini perkongsian tips dari saya bagaimana nak jadikan kerja kita sebagai ibadah di sisi Allah. Ibadah ni tak semestinya dengan solat dan puasa semata-mata. Malah semua yang kita lakukan dalam kehidupan kita akan jadi ibadah sekiranya kita lakukan menurut cara yang diredhai Allah. Ini lah dinamakan ibadah umum.. Maaf sekiranya ada kekurangan dalam penulisan ini. Sekadar secebis perkongsian santai dari saya yang masih fakir tentang ilmu Allah.. 

Wallahualam...