Title:

mobicow

Media Sosial Di Kalangan Remaja





Risau apabila memikirkan masalah sosial yang berleluasa sekarang. Tambahan pula yang melibatkan anak-anak remaja melayu Islam kita. Sedih bila kita dengar kes-kes kelahiran luar nikah yang saban hari semakin meningkat di kalangan remaja Islam. Pengalaman saya bekerja di hospital boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja kelahiran luar nikah direkodkan dan perlu dikaunseling oleh ustaz dan kaunselor. Siapakah yang patut disalahkan? Itulah soalan yang patut ditanya kepada diri kita sendiri. Ibu ayah sudah cukup mendidik, cikgu-cikgu di sekolah juga telah menjalankan tanggungjawab mereka. Jadi, di manakah silapnya? Tepuk dada, tanyalah diri kita sendiri...

Aplikasi media sosial seperti whatsapp, wechat, instagram, fb, twitter, telegram dll adalah suatu aplikasi yang memudahkan urusan seharian. Tidak dinafikan ia juga merupakan salah satu medium utama penyebab berlakunya gejala sosial di kalangan remaja pada hari ini. Hasil temubual dengan remaja-remaja yang melahirkan anak luar nikah kebanyakannya adalah bermula dengan pengenalan mereka bersama rakan-rakan lelaki di media sosial terutamanya melalui aplikasi wechat. Saya kadang-kadang hairan kenapa murahnya harga diri mereka sehingga sanggup mengadai maruah kepada lelaki yang baru sahaja dikenali melalui aplikasi tersebut.

Lelaki memang mudah untuk mengeluarkan ayat-ayat manis bagi tujuan memerangkap remaja perempuan yang mungkin dahagakan kasih sayang sehingga mereka sanggup mengadakan hubungan terlarang dan akhirnya mengandung anak luar nikah. Akibatnya yang menanggung adalah remaja perempuan tersebut. Bagi lelaki pula, habis madu sepah dibuang. Akhirnya merana lah perempuan tersebut dek kerana perbuatan dia sendiri yang tidak berfikir panjang. Sebab itu saya suka sebut pada mereka bahawa wanita akalnya pendek. Dah terantuk baru tengadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian, jadilah ibu di usia muda.. Masa ni la mereka nak menangis, tertekan, dan lebih buruk akibatnya jadi kemurungan. So, kepada semua remaja wanita, anda perlu ingat bahawa diri anda sudah tidak berharga lagi sekiranya anda mudah untuk didekati dan didapati oleh mana-mana lelaki yang bukan mahram. Ia seolah-olah barang second hand yang mudah untuk kita dapatkan di mana-mana tempat jika nak dibandingkan dengan barangan original yang agak sukar untuk kita perolehi melainkan dengan berusaha bersungguh-sungguh dan melalui beberapa pengorbanan.

Sebagai pengguna telefon pintar, kita perlu menggunakannya dengan cara yang betul dan berhemah terutamanya kepada remaja-remaja di luar sana yang sudah pasti tidak akan membaca tulisan ini. Aplikasi yang wujud di telefon pintar pada masa kini seolah-olah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kesan daripada teknologi ini sebenarnya lebih banyak negatifnya daripada positif. Bagaimana 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin anak-anak kita sudah sukar untuk kita kawal lagi. Mungkin juga aplikasi yang wujud di dalam telefon pintar makin canggih dan moden sehingga sukar untuk kita bayangkan oleh akal fikiran kita pada masa sekarang. Apatah lagi aplikasi-aplikasi yang telah ada pada hari ini adalah suatu yang kita sendiri tidak menyangkakan kewujudannya. Begitulah masa sentiasa berputar dan zaman pun semakin berubah dengan cara yang berbeza. Nak atau taknak, kita terpaksa terima kewujudannya kerana ianya tidak dapat ditahan oleh masa ataupun sesiapa.

Jadilah pengguna yang bijak yang sentiasa meletakkan Islam sebagai tempat berpaut untuk kita menjalani kehidupan seharian tambahan pula dengan zaman yang serba canggih pada masa-masa akan datang. Saya sangat setuju kerja dakwah yang dijalankan oleh karkun (orang kita panggil orang tabligh) yang dilaksanakan di seluruh dunia pada masa sekarang. Mereka mendekati semua lapisan masyarakat dengan mengajak melakukan kebaikan dan mengajak orang ramai untuk pergi ke surau dan masjid yang berdekatan untuk solat berjemaah. Mungkin ini yang diperlukan oleh anak-anak muda zaman sekarang. Apabila kita jauh daripada Allah, pelbagai ujian Allah akan beri sebagai peringatan kepada kita agar kita ingat akan Dia. Semua orang ada tanggungjawab yang berat bagi memastikan anak muda zaman sekarang menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara kerana merekalah aset negara kita pada masa akan datang. Wallahualam... 



No comments:

Post a Comment