Title:

mobicow

MUHASABAH

Image result for muhasabah diri





Setiap manusia dilahirkan di dunia ini tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W ; كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ , yang bermaksud: "setiap anak adam itu berdosa, dan sebaik baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat". Maka oleh sebab itu, sebagai hamba Allah sudah pasti kita harus bermuhasabah diri agar kita sentiasa sedar akan dosa atau kesilapan yang telah kita lakukan.

Muhasabah diri perlu dilakukan setiap hari kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan datang menjemput. Mudah-mudahan dengan bermuhasabah, kita sempat untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah S.W.T

Sepertimana yang kita tahu, muhasabah itu adalah muhasabah atas dosa sahaja. sedangkan muhasabah itu boleh diperluaskan lagi fahamannya dengan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu antaranya ialah muhasabah masa, muhasabah harta benda dan muhasabah amalan.


Muhasabah Masa

Masa merupakan hamba Allah yang sentiasa taat akan perintahNya. Masa tidak pernah mendahului arahan Allah S.W.T. Setiap masa yang berlalu seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat yang dapat membawa kita ke syurga Allah S.W.T. Cuba kita muhasabah masa yang telah diberi oleh Allah S.W.T. Semua orang diberi masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Tetapi mengapa masih ada yang mengeluh dengan memberi pelbagai alasan termasuklah alasan masa tidak cukup untuk menyiapkan kerja yang telah diberi dan sebagainya. Ramai yang lalai dengan dunia sehingga mereka lupa asal tujuan hidup mereka iaitu beribadah kepada Allah S.W.T. Ramai yang lupa bahawa dunia adalah tempat mereka bermusafir dan mereka akan kembali semula ke tempat asal iaitu syurga mahupun neraka yang mereka akan hidup kekal ke dalamnya berdasarkan amalan masing-masing. Makin hari umur kita makin berkurang. Jadi muhasabah lah masa kalian semua agar kita beringat bahawa setiap saat yang diberikan Allah terhadap kita akan dinilai oleh Allah di akhirat kelak.


Firman Allah S.W.T :

-وَالْعَصْرِ- إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ  
 إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran” 


Muhasabah Harta Benda

Harta benda adalah perkara yang sangat bernilai yang dicintai oleh setiap manusia. Semua orang inginkan harta yang melimpah ruah. Jika diceritakan kepada sesiapa sahaja di dunia ini tentang harta, sudah barang tentu mereka akan menyukainya. Itulah nafsu manusia yang sentiasa cinta akan harta yang memang telah menjadi lumrah ke atas semua manusia di atas muka bumi ini sejak azali lagi. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah at-takathur ayat yang pertama dan kedua yang bermaksud : "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh - Sehingga kamu masuk ke dalam kubur...". 

Islam tidak melarang untuk kita mengumpul harta sebanyak manapun kerana itu adalah hak dan keinginan masing-masing. Barang siapa berusaha dengan bersungguh-sungguh, maka sudah pasti Allah akan memberikan limpah kurniaNya atas usaha yang telah dilakukan oleh mereka. Tetapi kita perlu ingat bahawa setiap pemberian Allah taala itu samada sedikit mahupun banyak, ia bukanlah milik kita semuanya. Ada insan lain yang berhak ke atas harta yang kita ada. Jadi muhasabah lah mengenai harta kita dengan memberikan infak, sedekah dan membantu orang-orang disekeliling kita yang memerlukan tambahan lagi disaat kita sedang diuji oleh Allah dengan kesusahan. Tidak yakinkah kita dengan janji Allah yang bermaksud ;

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." ( Al Baqarah : 261 )


Muhasabah Amalan 

Tanggungjawab kita sebagai manusia yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T adalah tidak lain tidak bukan semata-mata untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah taala. Ia boleh diterjemahkan dengan amalan seharian yang kita lakukan dari segi solat, puasa, zakat dan ibadah-ibadah umum yang lain. Oleh itu, jadikanlah semua perkara dalam hidup  kita sebagai ibadah kerana ianya sudah pasti akan mendapat ganjaran di sisi Allah S.W.T. Setiap hari kita wajib untuk muhasabah amalan kita. Ini kerana ia ada kaitan dengan iman seseorang. Pernah kita dengar kenyataan bahawa iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Dengan muhasabah amalan setiap hari akan memastikan iman kita sentiasa stabil dan diharapkan ia dapat membantu kita agar sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan seharian.

Muhasabah lah amalan solat kita. Berapa banyak solat yang kita telah tinggalkan? Adakah telah diganti atau belum? jika belum, gantilah segera.. Bagaimana pula dengan solat berjemaah? Kenalkah kita akan tok imam dan bilal masjid qariah kita? Atau kita sekadar singgah di masjid-masjid atau surau hanya untuk melepaskan hajat sahaja? 

Perkara-perkara ini kita hendaklah perhatikan dan ambil berat kerana ia melibatkan hubungan kita dengan Allah taala. Jika Allah suka pada kita, semua penduduk bumi dan langit akan suka pada kita. Jadi, jagalah Allah.. Allah akan pasti jaga kita. Sayangilah diri kita, keluarga kita, dan kawan-kawan kita. Ajaklah mereka untuk sama-sama muhasabah dengan amalan masing-masing sebab hanya itu yang Allah akan nilai bila kita telah meninggalkan dunia yang fana' ini.

Wallahualam.. tulisan ini sekadar perkongsian dari hamba yang masih kurang ilmunya.. Allahuma faqihna fiddiin wa 'alimna takwil. Aminn..

No comments:

Post a Comment