Menjaga
Hubungan Sesama Manusia
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya dan kepada semua jemaah
supaya bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengerjakan segala perintahNya dan
meninggalkan segala laranganNya. Ini kerana dengan
bertakwa kepada Allah S.W.T. sahajalah kita semua dapat mencapai matlamat hidup
iaitu keredhaan Allah S.W.T.
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Untuk memastikan diri
kita menjadi hamba Allah yang baik atau dengan tepatnya menjadi
'khalifahtullah' di atas muka bumi ini, kesempurnaannya amat bergantung kepada
sejauh mana seseorang itu mampu mewujudkan hubungannya dengan Yang Maha
Pencipta iaitu Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menjaga
hubungannya sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan
insan muslim dan mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T
dalam al-Qur'an: Maksudnya: 'Ditimpa
kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan
agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga
berbuat baik sesama manusia..' (Surah Ali-Imran: 112)
Kaum Muslimin yang
dirahmati Allah sekalian,
Agama Islam yang kita
anuti ini begitu prihatin dengan menyusun adab-adab dan disiplin-disiplin dalam
perhubungan sebagai pra-syarat kepada kesempurnaan kita untuk menjadi khalifah
Allah S.W.T. Islam telah menyusunnya dengan begitu terperinci dengan tujuan memastikan
supaya kehidupan hamba Allah itu berjalan dengan penuh harmoni dan selesa.
Ianya disusun bermula daripada beberapa adab dan disiplin antaranya adab-adab
berkeluarga, adab-adab kehidupan berumah tangga, adab bersuami isteri dan adab
beranak pinak. Ini semata-mata bertujuan agar keluarga itu dapat mengecapi
kebahagiaan sebagaimana yang diungkapkan 'Baiti Jannati' iaitu Rumahku
Syurgaku.
Islam juga mengajar adab-adab
berjiran tetangga atas dasar hormat-menghormati supaya kehidupan sekampung dan
sehalaman itu aman bahagia dan tidak bersengketa antara satu dengan yang lain. Selain
menyusun adab dan disiplin hubungan sesama umat Islam, Islam juga menggariskan
panduan dalam perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang
berteraskan kemanusiaan sebagai merealisasikan apa yang difirmankan oleh Allah
S.W.T.dalam al-Qur'an yang bermaksud:
'Wahai manusia
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan
dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal
mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah
ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13)
Selain daripada itu, Islam
telah menetapkan berbagai-bagai adab yang lain termasuklah adab bertegur sapa,
melarang, menasihat dan berdakwah. Sebagaimana Allah S.W.T. memerintahkan Nabi
Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. supaya pergi kepada Firaun dengan firman-Nya yang
bermaksud:
'Pergilah kamu berdua
kepada Firaun kerana dia telah melewati batas kekufurannya. Maka kamu berdua
bercakaplah padanya dengan kata-kata yang lemah-lembut mudah-mudahan dia akan
ingat dan takut akan Allah S.W.T.' (Surah Taha: 43-44)
Melalui ayat al-quran
ini jelaslah kepada kita bahawa Islam mementingkan hubungan yang harmoni dalam
apa jua keadaan, sekalipun untuk menyeru orang bukan Islam supaya kembali ke
jalan Allah S.W.T. hendaklah dengan menggunakan cara yang baik bagi menjaga
keharmonian dalam masyarakat.
Kaum Muslimin yang
dirahmati Allah,
Mutakhir ini kita dapat
lihat ramai di kalangan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa
mempedulikan orang di sekelilingnya. Janganlah kita menjadi katak di bawah
tempurung yang tidak mengetahui langsung masalah yang berlaku di luar dan hanya
terkurung di bawah kehidupan sendiri sehinggakan ada sesetengah ibu bapa yang tidak
mengambil peduli apa yang berlaku kepada anak-anak dengan membiarkan mereka
berkeliaran dan berpeleseran tanpa pengawasan, rakan sejawat bermasam muka
sesama mereka, malah lebih teruk dari itu jiran sebelah rumah pun tidak
dikenali kerana terlalu sibuk dengan urusan peribadi. Perkara-perkara seperti
ini tidak seharusnya wujud dalam kehidupan bermasyarakat. Tetapi apa yang perlu
disuburkan dalam jiwa kita adalah menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni dalam
keluarga, menghubungkan silaturrahim dalam masyarakat dan menzahirkan kasih
sayang antara satu sama lain agar kehidupan seharian kita dirahmati oleh Allah
S.W.T.
Mimbar sekali lagi
menekankan bahawa pentingnya menjaga hubungan sesama manusia ini samada
hubungan antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, jiran-jiran tetangga
serta antara orang Islam dan orang yang bukan Islam. Ini kerana dengan menjaga
hubungan seperti ini dapat menjadikan masyarakat hidup dengan selamat, aman dan
damai, dan tidak berpecah belah. Firman Allah S.W.T:
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ
اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا
"Dan berpegang
teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu
bercerai-berai". Ali Imran, 103.
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Salah satu cara untuk
menjaga hubungan sesama manusia adalah dengan menyambung silaturahim. Ia adalah
satu cara yang diajarkan oleh Rasulullah untuk memanjangkan umur dan pada masa
yang sama, menambahkan rezeki dengan keizinan Allah S.W.T.
Pelbagai cara boleh
dilakukan untuk mengeratkan silaturahim. Antaranya ialah:
Yang pertama, saling hormat
menghormati sesama Muslim.
Yang Kedua, bermanis
muka terhadap tetamu serta jiran tetangga
Yang ketiga, ziarah
menziarahi dengan niat silaturahim.
Semua orang mengakui,
bahawa Islam adalah agama persaudaraan, perpaduan dan silaturahim atau agama
yang saling menghubungkan kasih sayang sesama Islam, saudara, keluarga dan
sesama manusia. Islam agama yang mengatur manusia cara hidup terbaik, hidup
bersaudara, bersilaturahim dan bersefahaman. Firman Allah S.W.T yang
bermaksud:
"Sebenarnya orang
beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang
bertelingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh
rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)
Nabi ketika ditanya
mengenai manusia yang terbaik, menjawab dalam sabdanya yang bermaksud:
"(Orang yang
terbaik antara mereka) ialah orang yang paling bertakwa kepada Allah. Dan orang
yang paling erat hubungan silaturahimnya (sesama keluarga atau saudaranya). Dan
orang yang paling banyak mengajak kepada kebaikan serta orang yang paling
banyak dalam melarang berbuat kemungkaran." (Hadis riwayat At-Thabrani).
Dalam kehidupan
seharian, kita tidak boleh lari dari berhubung dengan sesama manusia, dengan
rakan sekerja, teman serumah, jiran tetangga, masyarakat sekampung dan
sebagainya yang perlu di jaga dengan sebaik-baiknya, agar kehidupan menjadi
lebih sempurna. Inilah asas hidup bersilaturahim atau bersaudara dalam Islam.
Masyarakat atau umat yang tidak mementingkan hubungan silaturahim adalah
masyarakat yang tempang, tiada kekuatan dan jauh daripada keberkatan di sisi
Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment