Title:

mobicow


Menjaga Hubungan Sesama Manusia

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya dan kepada semua jemaah supaya bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Ini kerana dengan bertakwa kepada Allah S.W.T. sahajalah kita semua dapat mencapai matlamat hidup iaitu keredhaan Allah S.W.T.

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk memastikan diri kita menjadi hamba Allah yang baik atau dengan tepatnya menjadi 'khalifahtullah' di atas muka bumi ini, kesempurnaannya amat bergantung kepada sejauh mana seseorang itu mampu mewujudkan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta iaitu Allah S.W.T. dan juga sejauh mana kemampuan seseorang itu menjaga hubungannya sesama manusia. Inilah yang menjadi titik tolak dalam kehidupan insan muslim dan mukmin yang beriman dengan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T dalam al-Qur'an: Maksudnya: 'Ditimpa kehinaan mereka walau di mana mereka berada melainkan berjaya berpegang dengan agama Allah S.W.T. dengan menghubungkan diri dengan Allah S.W.T. dan juga berbuat baik sesama manusia..' (Surah Ali-Imran: 112)  

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Agama Islam yang kita anuti ini begitu prihatin dengan menyusun adab-adab dan disiplin-disiplin dalam perhubungan sebagai pra-syarat kepada kesempurnaan kita untuk menjadi khalifah Allah S.W.T. Islam telah menyusunnya dengan begitu terperinci dengan tujuan memastikan supaya kehidupan hamba Allah itu berjalan dengan penuh harmoni dan selesa. Ianya disusun bermula daripada beberapa adab dan disiplin antaranya adab-adab berkeluarga, adab-adab kehidupan berumah tangga, adab bersuami isteri dan adab beranak pinak. Ini semata-mata bertujuan agar keluarga itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagaimana yang diungkapkan 'Baiti Jannati' iaitu Rumahku Syurgaku.

Islam juga mengajar adab-adab berjiran tetangga atas dasar hormat-menghormati supaya kehidupan sekampung dan sehalaman itu aman bahagia dan tidak bersengketa antara satu dengan yang lain. Selain menyusun adab dan disiplin hubungan sesama umat Islam, Islam juga menggariskan panduan dalam perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam yang berteraskan kemanusiaan sebagai merealisasikan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T.dalam al-Qur'an yang bermaksud:

'Wahai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13) 

Selain daripada itu, Islam telah menetapkan berbagai-bagai adab yang lain termasuklah adab bertegur sapa, melarang, menasihat dan berdakwah. Sebagaimana Allah S.W.T. memerintahkan Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. supaya pergi kepada Firaun dengan firman-Nya yang bermaksud: 

'Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah melewati batas kekufurannya. Maka kamu berdua bercakaplah padanya dengan kata-kata yang lemah-lembut mudah-mudahan dia akan ingat dan takut akan Allah S.W.T.' (Surah Taha: 43-44) 

Melalui ayat al-quran ini jelaslah kepada kita bahawa Islam mementingkan hubungan yang harmoni dalam apa jua keadaan, sekalipun untuk menyeru orang bukan Islam supaya kembali ke jalan Allah S.W.T. hendaklah dengan menggunakan cara yang baik bagi menjaga keharmonian dalam masyarakat.

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Mutakhir ini kita dapat lihat ramai di kalangan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya. Janganlah kita menjadi katak di bawah tempurung yang tidak mengetahui langsung masalah yang berlaku di luar dan hanya terkurung di bawah kehidupan sendiri sehinggakan ada sesetengah ibu bapa yang tidak mengambil peduli apa yang berlaku kepada anak-anak dengan membiarkan mereka berkeliaran dan berpeleseran tanpa pengawasan, rakan sejawat bermasam muka sesama mereka, malah lebih teruk dari itu jiran sebelah rumah pun tidak dikenali kerana terlalu sibuk dengan urusan peribadi. Perkara-perkara seperti ini tidak seharusnya wujud dalam kehidupan bermasyarakat. Tetapi apa yang perlu disuburkan dalam jiwa kita adalah menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni dalam keluarga, menghubungkan silaturrahim dalam masyarakat dan menzahirkan kasih sayang antara satu sama lain agar kehidupan seharian kita dirahmati oleh Allah S.W.T.

Mimbar sekali lagi menekankan bahawa pentingnya menjaga hubungan sesama manusia ini samada hubungan antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, jiran-jiran tetangga serta antara orang Islam dan orang yang bukan Islam. Ini kerana dengan menjaga hubungan seperti ini dapat menjadikan masyarakat hidup dengan selamat, aman dan damai, dan tidak berpecah belah. Firman Allah S.W.T:
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".    Ali Imran, 103.


Kaum Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Salah satu cara untuk menjaga hubungan sesama manusia adalah dengan menyambung silaturahim. Ia adalah satu cara yang diajarkan oleh Rasulullah untuk memanjangkan umur dan pada masa yang sama, menambahkan rezeki dengan keizinan Allah S.W.T.
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturahim. Antaranya ialah:

Yang pertama, saling hormat menghormati sesama Muslim.
Yang Kedua, bermanis muka terhadap tetamu serta jiran tetangga
Yang ketiga, ziarah menziarahi dengan niat silaturahim.

Semua orang mengakui, bahawa Islam adalah agama persaudaraan, perpaduan dan silaturahim atau agama yang saling menghubungkan kasih sayang sesama Islam, saudara, keluarga dan sesama manusia. Islam agama yang mengatur manusia cara hidup terbaik, hidup bersaudara, bersilaturahim dan bersefahaman. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

"Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)

Nabi ketika ditanya mengenai manusia yang terbaik, menjawab dalam sabdanya yang bermaksud:
 "(Orang yang terbaik antara mereka) ialah orang yang paling bertakwa kepada Allah. Dan orang yang paling erat hubungan silaturahimnya (sesama keluarga atau saudaranya). Dan orang yang paling banyak mengajak kepada kebaikan serta orang yang paling banyak dalam melarang berbuat kemungkaran." (Hadis riwayat At-Thabrani).

Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh lari dari berhubung dengan sesama manusia, dengan rakan sekerja, teman serumah, jiran tetangga, masyarakat sekampung dan sebagainya yang perlu di jaga dengan sebaik-baiknya, agar kehidupan menjadi lebih sempurna. Inilah asas hidup bersilaturahim atau bersaudara dalam Islam. Masyarakat atau umat yang tidak mementingkan hubungan silaturahim adalah masyarakat yang tempang, tiada kekuatan dan jauh daripada keberkatan di sisi Allah S.W.T.