Title:

mobicow

BERILAH NASIHAT SEKALIPUN ANDA DIKECAM

Allah SWT tidak menyukai orang yang berkata-kata tetapi tidak melakukan seperti apa yang dituturkan, berdasarkan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّـهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ 
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya .Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
Surah al-Saf, Ayat  2, 3
Daripada ayat ini, kita memahami bahawa setiap apa yang kita tuturkan perlulah diselangi dengan amal kerana Allah SWT membenci orang yang tidak beramal dengan apa yang dituturkan.
Selagimana mampu untuk memberi nasihat, berilah nasihat. Kerana boleh jadi dengan nasihat tersebut kita bisa mengubah diri kita menjadi orang yang baik. Hidayah itu milik Allah.

Selain itu, Nabi SAW telah memberi dan menunjukkan kepada kita panduan dalam beramal, antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
يا أيها الناسُ! عَلَيْكم مِنَ الأعْمالِ ما تُطِيقون. فإنَّ اللهَ لا يَمَلُّ حتى تَمَلُّوا. وإنَّ أحبَّ الأعمالِ إلى اللهِ ما دُووِمَ عَلَيْهِ وإنْ قَلّ
Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! hendaklah kalian beramal menurut kemampuan kamu kerana Allah SWT tidak akan pernah bosan sehingga kalian sendiri yang bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah SWT, adalah amalan yang dikerjakan secara berterusan meskipun sedikit”.
Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Musafir dan Qasar, Bab Kelebihan Istiqamah dalam melaksanakan solat malam dan selainnya

Semoga Allah SWT menjadikan kita orang-orang yang istiqamah dalam beramal dan melakukan setiap apa yang telah dituturkan. Amin.
Wallahua`lam. 

JANGAN TERGESA-GESA DALAM BERDOA


عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو عُبَيْدٍ مَوْلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ وَكَانَ مِنْ الْقُرَّاءِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّي فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِي

Dari Ibnu Syihab bahwasanya ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abu Ubaid hamba Abdurrahman bin Auf yang mana dia termasuk dari para Qari (penghafal quran) dan Ahli fikah, dia berkata; Aku mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dikabulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan; Aku telah berdoa kepada Rabbku, namun Dia belum juga mengabulkan untukku' 

(HR Muslim No: 4917) Status: Hadis Sahih.



Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah

2.  Doa seseorang tetap akan dikabulkan oleh Allah samada cepat mahupun lambat. Allah akan memberi bukan sepertimana yang kita minta tetapi Allah memberi sepertimana yang kita perlu.

3.  Antara sebab doa seseorang tidak dikabulkan ialah apabila ia berdoa dengan tergesa-gesa. 

4.  Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

5.  Berdoalah dengan penuh keyakinan dan penyerahan kepada Allah. Sabda Nabi:

أُدْعُوا اللهَ تَعَالَى وَأَنتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِن قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kepada Allah sementara kalian yakin doa kalian dikabulkan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan dari hati yang lalai dan lengah” 

(HR Tirmizi No: 3479)

Betulkan Solat Anda

Secara ringkasnya di sini saya senaraikan beberapa kesalahan yang kerap dilakukan ketika solat tanpa kita sedari sebenarnya ianya adalah tidak mengikut cara yang betul. Sebagaimana hadis Nabi S.A.W mafhumnya, "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku mengerjakannya"


# 1 Jari kaki tidak menghadap kiblat. Ni paling ramai orang kita xsedar. Tambahan pula ketika solat berjemaah. Macam mana Saff nk rapat kalau kaki semua dikembang kembangkan. Imam pun kadang-kadang 2 x 5 jugak. 

# 2 Mengangkat takbir tanpa sebut dengan jelas "Allahu Akbar". Sedangkan sebutan "Allahu Akbar" paling kurang hendaklah didengari oleh telinga kita sendiri.

# 3 Bacaan Al-Fatihah juga tidak didengari oleh telinga sendiri. Baca dalam hati. Tajwid kena jaga jugak ni. Takut tak sah je solat.

# 4 Rukuk tidak betul. Belakang badan kena lurus seolah-olah kalau letak air dalam cawan dekat atas belakang, air tu tidak tumpah. Tangan pegang lutut waktu rukuk. Jangan pegang keting kaki. Jari-jari tangan rengang-rengangkan.

# 5 Tiada tomakninah. Solat macam ayam patuk beras.

# 6 Sujud tidak betul. Sujud yang sempurna hendaklah dengan 7 anggota iaitu 2 hujung jari kaki, 2 lutut, 2 tapak tangan dan dahi ditekankan ke tempat sujud. Jari kaki hendaklah dilipat, Jari tangan pula dirapatkan. Tangan hendaklah direnggangkan daripada lambung/rusuk dan siku diangkat.

# 7 Duduk tahiyat akhir dengan jari kaki kanan tidak dilipatkan dan kepala terlalu menyenget. Yang sepatutnya jari kaki hendaklah dilipatkan sekadar yang mampu. Kena cuba dan latih agar dapat lipat jari kaki tu. Kepala tak perlu senget/teleng sangat. Jari telunjuk jangan melebihi lutut apabila diangkat ketika bacaan syahadah. Sunat melihat jari telunjuk tu hingga habis bacaan tahiyat akhir. 


Lain-Lain Perkara Yang Tidak Perlu/Tidak Patut Dilakukan Ketika Berjemaah:

Bilal :
- Bilal ajak buat saff. Bilal sepatutnya iqamat sahaja, tak perlu sebut safff sebelum iqamat.
- Bilal tutup telinga ketika hendak iqamat.
- Bilal terus iqamat setelah azan. Sepatutnya bagi ruang untuk jemaah untuk solat sunat dahulu.

Imam:
- Terus angkat takbir tanpa menyuruh makmum luruskan dan betulkan saff.
- Jari kaki imam tidak hadap kiblat.
- Imam tidak mengambil berat hal/masalah makmum/jemaah yang hadir. Jika ada jemaah yang tua dan sakit, maka ringkaskan lah bacaan surah. Jangan baca surah yang terlalu panjang. Jika ada jemaah baru hendak masuk saff jangan terus bangun dari rukuk. bagi masa untuk jemaah tersebut dapat rukuk bersama imam. 
- Bacaan imam yang tidak begitu jelas dan kuat. Makmum berkerut-kerut dahi nak mendengar bacaan imam.
- Imam terlalu laju. Nak ke mana la imam ni. Makmum belakang dah berterabur solatnya.
- Imam tidak berwirid. Wirid selepas solat adalah sunnah.
- Imam tidak memusing menghadap ke sebelah kanan setelah selesai solat. Ini juga sunnah.
- Bacaan doa imam terlalu panjang. Talqin pun dimasukkan sekali dalam doa solat. Baca lah doa-doa yang dianjurkan Rasulullah S.A.W

Makmum :
- Saff tidak rapat, bahu dan kaki tidak dirapatkan.
- Makmum baca al-fatihah terlalu kuat. Makruh ni
- Makmum bau busuk. Makruh
- Mulut makmum berbau. Makruh
- Makmum terlalu wangi. Sampai sakit hidung orang sebelah
- Makmum duduk tawaruk ketika tahiyat akhir sehingga duduk atas kaki jemaah di sebelah. Kalau agak-agak macam sempit, duduk iftirasy je la. Jangan sampai jemaah sebelah menahan kesakitan hingga imam bagi salam.  



#Sebarkan jika anda rasa ini bermanfaat. Mudah-mudahan orang di luar sana menyedari kesalahan yang dilakukan.

** Jika ada tambahan atau kesalahan dalam penulisan ini mohon ditegur di dalam komen ya.. t.kasih semua. Wallahualam..



JOM BERSIHKAN HATI

Image result for HATI




















Hati bersih hidup​ ​bahagia.

1. Jangan cari salah orang. Salah sendiri banyak pun kita tidak sedar.

2. Jangan hina orang. Allah tidak pernah hina kita.

3. Jangan buka aib orang. Allah simpan aib kita sampai hari akhirat.

4. Jangan perlekehkan orang. Allah hargai setiap usaha hambaNya.

5. Jangan mengata orang. Mana tahu masa depan orang yang kita kata itulah yang akan menolong kita dalam kesusahan.

6. Jangan sakitkan hati orang. Doa orang yang teraniaya itu makbul.

7. Jangan bangga dengan amal ibadah kita. Hanya Allah yang tahu amal tersebut diterima atau tidak.

8. Jangan sombong dengan apa yang kita ada. Allah boleh tarik bila-bila masa.

9. Jangan bandingkan orang lain dengan kita. Allah bagi rezeki setiap orang itu berbeza.

10. Jangan sedih dengan kekurangan kita. Allah tahu apa yang terbaik uuntuk hambaNya.

Renung-renungkan dan sama-sama kita muhasabah diri.

(Dipetik daripada facebook Bahagian Dakwah, Jakim)

CONTOH SLIDE POWERPOINT - SOLAT BERJEMAAH, JAMA' DAN QASAR




Sekadar perkongsian kepada semua untuk panduan bagi menyediakan slide ceramah. Maaf sekiranya ada kelemahan dan kekurangan dalam menyediakan slide ini dan mohon ditegur di ruangan komen. T.kasih..

SOLIDARITI SELAMATKAN BAITUL MAQDIS

Image result for solidatiri untuk palestin

HIDUP HANYA SEMENTARA - CERIAKANLAH PASANGAN ANDA



Image result for SUAMI ISTERI BAHAGIA

#1 Penuhi keperluan isteri
Penuhi setiap keperluan isteri mengikut kemampuan diri sang suami. Keperluan isteri adalah seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Gunakan kewangan sang suami bagi memenuhi keperluan si isteri. Jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Jadi sang suami, kerjalah lebih kuat bagi memenuhi lebih banyak lagi keperluan si isteri yang akhirnya akan mengembirakan hati sang isteri tersebut.

#2 Lindungi si isteri

Menjadi pelindung kepada si isteri daripada apa sahaja perkara yang boleh menyakiti si isteri. Boleh jadi, bahaya itu datang dari sang suami itu sendiri (penderaan mental atau fizikal), ataupun bahaya dari luar. Si isteri perlu rasa selamat apabila suami berada di sisi

#3 Bersabar dengan si isteri

Sabar dan menerima setiap kelemahan si isteri. Apabila ada sesuatu yang tidak seronok dipandang, tegur si isteri dengan cara paling bijaksana. Andai perkara itu sentiasa berulang, lihatlah kebaikan sang isteri yang mungkin lebih banyak jika dibandingkan dengan kelemahan isteri yang sedikit itu. Usah benci si isteri, dan ingat betapa si isteri adalah orang pertama percayakan diri sang suami.

#4 Bimbing si isteri

Ajar isteri anda dengan asas pendidikan agama yang secukupnya. Andai sang suami tidak mampu, pastikan si isteri ada kemudahan untuk belajar. Berilah kebenaran kepada isteri untuk keluar belajar bagi menambah ilmu agamanya. Pendidikan si isteri juga penting sebagai asas kepada pendidikan anak-anak pada masa depan.

#5 Suruh si isteri beramal soleh

Pastikan si isteri istiqamah (kekal dan konsisten) dalam mengamalkan ajaran agama. Ajak si isteri melakukan amal soleh dan bersama-sama menjaga akhlak. Ajak isteri menunaikan solat 5 waktu berjemaah dan hidupkan majlis ta'lim di dalam rumahtangga.

#6 Bersikap tegas kepada si isteri

Lindungi si isteri daripada perkara yang kurang elok seperti gosip-gosip liar, sikap malas dan sebagainya. Ajar isteri sentiasa menutup aurat dengan sempurna ketika keluar rumah dan ketika ada tetamu bukan mahram hadir dalam rumah.

#7 Sentiasa ada di sisi si isteri

Sentiasa sedia menemani si isteri apabila si isteri perlukan sang suami di sisi. Sebagai contoh, menemani isteri membeli belah dan menziarahi ibu bapanya di kampung. Sentiasa berada di sisi juga bermakna sentiasa memberi perhatian kepada si isteri.

#8 Bersikap ‘gentleman’ kepada si isteri

Bercakaplah dengan si isteri dengan cara paling elok, iaitu tutur kata yang manis dan sopan sebagaimana pertemuan si isteri dan sang suami yang pertama. Jangan jadikan isteri tempat untuk melepaskan kemarahan. Bantu ringankan beban isteri dengan melakukan bersama-sama kerja rumah seperti menyapu, membasuh pinggan, memasak dan sebagainya.

#9 Menjaga kehormatan si isteri

Elakkan sama sekali berkongsi cerita-cerita peribadi si isteri kepada rakan-rakan atau keluarga. Suami yang baik adalah yang sentiasa merahsiakan segala keburukan isteri. Ketika melihat keburukan isteri ingatlah bahawa si suami juga mempunyai keburukan. Sebagaimana suami mahukan kehormatannya dipelihara, begitulah juga sang isteri.

#10 Meminta pandangan si isteri

Sang suami jangan rasa takut atau malu meminta pandangan si isteri dalam apa-apa perkara rutin atau perkara penting. Si isteri bukan sahaja boleh membantu, malah dapat memberi pandangan-pandangan bernas kepada sang suami. Si isteri akan merasa lebih dihargai dan penting dalam hidup sang suami.

Contoh Slide Powerpoint - Kewajipan Solat

Apa Nak Jadi


Sumber daripada :
https://www.malaysiakini.com/news/406063
Lelaki intai bawah skirt wanita dipenjara 7 bulan
Padah mengintai bawah skirt seorang wanita, seorang bekas pengawal keselematan dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhi hukuman itu ke atas Uzir Muhamad, 52, selepas dia mengaku bersalah mengintai bawah skirt seorang pereka laman web berusia 26 tahun dengan tujuan mengaibkan kehormatannya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lobi sebuah wisma di sini, pada 8.30 pagi, 30 November lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap iaitu 16 Disember lepas.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf serta berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengekori mangsa dari arah belakang sebelum dia mengintai ke bawah skirt mangsa.
Mangsa yang ketakutan terus membuat aduan kepada pihak pengurusan.
-Bernama

Kesimpulan : 
Kesimpulan daripada berita ini menunjukkan bahawa betapa teruknya umat sekarang yang tidak segan silu melakukan maksiat secara terang-terangan.. Sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W mengenai antara tanda-tanda kiamat yang maksudnya: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga orang bersetubuh seperti keldai di jalanan.” - Riwayat Ibnu Hibban. 
Dunia masa kini dipenuhi dengan pelbagai jenis maksiat, malah maksiat dilakukan secara terbuka tanpa rasa malu atau bersalah. Sehinggakan terdapat segelintir golongan yang percaya bahawa, memakai pakaian hanyalah untuk tujuan tertentu seperti kerana ingin mengelakkan sejuk, ketika sakit atau untuk kelihatan cantik dan bergaya sahaja. Kaum wanita terutamanya yang mudah terdedah dengan gangguan seksual akibat salah laku orang yang tidak bertanggungjawab hendaklah menjaga tatasusila berpakaian. Jangan jadikan diri anda sebagai pintu untuk kaum adam mendapat dosa dengan mudah. Pakailah pakaian sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Moga kita terselamat daripada seksaan api neraka Allah. Nauzubillah..

DOA UNTUK PALESTIN

Photo



اللَّهُمَّ انصُرِ الإِسلام والمْسُلِمِينَ
اللَّهُمَّ انصُرِ المْسُلِمينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ
(اللَّهُمَّ انصُرِ المْسُلِمينَ فِي فَلَسطِين (3كالي
اللَّهُمَّ دَمَّر الكفَارَ واليَهُـودَ والنَّصَارَى والمْشُرِكِينَ
اللَّهُمَّ يَا اللّـه يَا اللّـه يَا اللّـه إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Maksudnya :


Wahai Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada Islam dan Muslimin,
Ya Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada Muslimin di semua tempat,
Ya Tuhan kami, Berilah kemenangan kepada orang Islam di Palestin (3x),
Ya Tuhan kami, Hancurkanlah Kuffar, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, Ya Tuhan kami,
Kalahkan mereka, Dan menangkan kami ke atas mereka.



KHUTBAH JUMAAT 2007 : MENSYUKURI KURNIAAN DAN NIKMAT ALLAH


اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Pada hari Jumaat yang penuh dengan rahmat dan keberkatan kurniaan Allah ini saya ingin mengajak diri saya dan para jamaah untuk sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dengan sentiasa melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan tergolong di kalangan hamba-Nya yang akan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia yang sementara ini dan berterusan hingga ke akhirat yang kekal abadi.

Salah satu amalan mulia yang terkandung di dalam syariat Islam apabila kita menerima sesuatu nikmat berbentuk kebahagiaan, kemudahan dalam hidup, rezeki yang melimpah ruah dan terlepas dari sesuatu musibah adalah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7: 

Yang bermaksud :“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: ”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, ingkar, sesungguhnya Azab-Ku amatlah pedih”.

Alhamdulillah, berkuatkuasa 1 Julai ini 1.02 juta anggota perkhidmatan awam seluruh Negara akan menerima kenaikan gaji antara 7.5% hingga 35%, termasuk anggota tentera dan pasukan polis yang akan turut menerima kenaikan gaji antara 9% hingga 42%. Begitu juga Elaun Sara Hidup (COLA) telah dinaikkan 100%. Kenaikan gaji yang seumpamanya sejak 15 tahun lalu adalah satu detik yang amat dinanti-nantikan selama ini oleh anggota perkhidmatan awam. Ini bermakna kerajaan dan masyarakat telah mengiktiraf sumbangan besar yang dimainkan oleh sektor awam bagi menjana pembangunan sosio ekonomi, mengekalkan ketenteraman dan memberi perkhidmatan yang memuaskan kepada masyarakat. Apalagi kenaikan gaji ini bukan sahaja dirasai oleh pegawai perkhidmatan awam yang masih bekerja tetapi turut dinikmati oleh 557,033 pesara kerajaan yang selama ini telah berkhidmat dengan dedikasi dan penuh amanah. Sepatutnya kita sebagai anggota perkhidmatan awam bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat yang melimpah ruah di bumi bertuah ini. Tidak lupa juga kita mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemimpin negara yang sentiasa prihatin dan menghargai sumbangan dan pengorbanan pegawai kakitangan kerajaan selama ini. Cuba kita bandingkan suasana ini dengan apa yang berlaku pada rakyat di sesetengah negara lain yang sentiasa hidup dirundung ketakutan lantaran peperangan yang telah memusnahkan bukan sahaja kediaman mereka malah negara dan kehidupan mereka, sesetengah negara pula dicengkam belenggu kemiskinan mengakibatkan kebuluran dan kekurangan makanan manakala ada negara lain dilanda wabak penyakit berjangkit yang membahayakan dan memusnahkan mereka. Begitu juga ada negara lain yang sentiasa bergolak, berperang sesama sendiri yang akhirnya mereka dijajah pula oleh kuasa asing.

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,
Keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan gaji bukanlah satu perkara mudah tetapi memerlukan satu peruntukan besar bagi membayar gaji kakitangan awam. Adalah dianggarkan sebanyak RM6.8 billion setahun diperuntukkan bagi membayar gaji ekoran kenaikan tersebut. Begitu juga sebanyak RM1.2 billion diperuntukkan untuk membayar Elaun Sara Hidup (COLA) setahun. Kemampuan kerajaan bagi membayar kenaikan gaji tersebut adalah bukti yang jelas keamanan negara, politik yang stabil dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang merupakan resepi terpenting kemajuan dan pembangunan negara. Kesemua ini tidak akan berlaku melainkan dengan kerjasama dan saling memahami antara pemimpin dan rakyat, kerajaan dan anggota perkhidmatan awam.

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,
Ketika pegawai kerajaan mengira-ngira berapakah habuan yang akan mereka perolehi, mimbar jumaat pada hari ini ingin mengajak sidang jamaah sekalian khususnya anggota perkhidmatan awam menghayati perkara-perkara berikut,

1.       Bekerja Lebih Gigih Bagi Mencapai Matlamat Perkhidmatan Awam Terbaik dan Bertaraf Dunia

Pernyataan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan tidak mencukupi melainkan setiap anggota perkhidmatan awam membalas kepercayaan dan penghargaan oleh pemimpin dan rakyat tersebut dengan meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja dengan lebih cekap dan gigih untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Selain itu setiap pegawai mestilah memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan mengurangkan karenah birokrasi, sikap mesra, telus, responsif dan mementingkan kehendak pelanggan. Ekoran kenaikan gaji ini tiada lagi alasan untuk melakukan perkara negatif yang boleh merosakkan imej perkhidmatan dan merugikan diri sendiri seperti sikap sambil lewa dalam kerja, terlibat dengan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, tabiat curi tulang, dan pelbagai lagi amalan buruk. Marilah kita menyedari bahawa kesemua tabiat buruk ini bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi menyebabkan kita memberikan nafkah yang tidak bersih kepada anak isteri dan keluarga kita. Ingatlah pesanan baginda Nabi S.A.W. di dalam hadis baginda:

كُلُّ لِحْمٍ نَبَتَ مِنَ الْحَرَامِ فَالنَّارُ أَوْلىَ بِهِ

Yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.
(hadis riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja mendapat gaji setiap bulan malah ia dikategorikan sebagai ibadah yang memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat. Sehubungan dengan itu, Dr. Yusof al-Qardhawi, dalam kitabnya al-‘Ibadah fi al-Islam, menggariskan beberapa pra syarat kerja yang kita laksanakan dinilai sebagai ibadah.

1. Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredhaan Allah dengan berkhidmat dengan 
   ikhlas bagi mencari rezeki yag halal,
2. Pekerjaan tersebut diakui oleh Islam,
3. Sepanjang bekerja tersebut ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain 
   samada menipu, mencuri mahupun terlibat dengan rasuah,
4. Pekerjaan tersebut dilakukan dengan kesungguhan dan penuh komitmen
5. Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadah khusus seperti meninggalkan solat ataupun 
   enggan mengeluarkan zakat.

2.       Mengurus kewangan secara bijak dan berbelanja secara berhemah.
Kenaikan gaji yang agak besar ini janganlah mudah menjadikan kita rambang mata dan lupa daratan dengan berbelanja besar, yang menyebabkan hidup kita dibelenggu kesusahan akibat berhutang. Janganlah kita terpedaya dengan tawaran skim cepat kaya samada ditawarkan oleh pelabur yang menipu atau yang telahpun diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai haram di sisi syariat Islam. Sebaliknya kita memanfaatkannya dengan melabur dalam saham amanah yang diharuskan oleh syara’ dan simpanan untuk pendidikan atau lain-lain skim yang diluluskan oleh bank Negara demi masa depan anak-anak dan keluarga yang bukan sekadar halal tetapi dijamin pelaburannya oleh kerajaan.
                            
Selain itu bagi mempastikan kehidupan kita akan sentiasa diberkati Allah, janganlah kita lupa menyimpan untuk menunaikan ibadah Fardhu haji. Kalau sebelum ini simpanan kita hampir kering kerana keperluan lain, sekarang adalah masanya kita memulakan kembali tabungan kita disamping menambahkan sedekah yang amat digalakkan lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kita yang memerlukan dan golongan yang kurang bernasib baik. Moga-moga dengan itu kehidupan kita sentiasa diberkati Allah. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (bakhil dan kedekut) itu’’.
                             (Surah al-Furqan: 67)

Dalam masa yang sama kepada para peniaga janganlah mengambil kesempatan dengan sengaja menaikkan harga barang-barang keperluan dan makanan dan hendaklah mematuhi arahan pihak berkuasa. Golongan seperti ini adalah umpama duri dalam daging yang sentiasa mencari peluang bagi menindas dan memeras keringat orang lain serta membina kekayaan walaupun rakyat menderita. Ingatlah bahawa arahan dari pemerintah ini wajib diikuti kerana ia tidak bertentangan dengan syara’ dan barangsiapa yang ingkar adalah berdosa.

  3.  Menghindari Amalan Rasuah
Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan hidup terdapat segolongan manusia yang terlalu rakus dan tamak dengan harta benda, sehingga sanggup mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan dan kehinaan dengan melakukan jenayah rasuah yang sangat dikutuk Allah Taala. Firman-Nya:

Yang Bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada Hakim-hakim kerana hendak menahan (mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya”.

(Surah al-Baqarah : 188)

Rasuah bukan sahaja menyebabkan pelakunya sentiasa diburu perasaan bersalah, mengambil keuntungan secara mudah tanpa berusaha tetapi ia boleh meruntuhkan sistem dalam masyarakat, merugikan negara malah boleh mengorbankan manusia yang tidak berdosa. Jalanilah hidup kita dengan gaya sederhana berdasarkan kemampuan yang ada. Janganlah kerana sikap kita sendiri yang suka menunjuk-nunjuk, berbelanja mewah, gemar berhutang akan menjerat diri kita dalam lembah maksiat yang dilarang Allah.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Marilah kita pada hari ini merealisasikan konsep kesyukuran dengan sebenar-benarnya dalam kehidupan kita. Agar kehidupan kita lebih diberkati Allah dan dikurniakan dengan nikmat yang melimpah ruah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman hikmah, kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulanglah kepada diri sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha kaya Lagi Maha terpuji."

(surah Lukman : 12)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


MENGIKIS SIFAT SOMBONG


Related image

Sombong merupakan salah satu sifat mazmumah yang tidak harus ada dalam diri seorang manusia. Mengapa perlu sombong sedangkan kita semua akan kembali menghadap Allah S.W.T dalam keadaan yang sama iaitu berpakaian dengan kain kafan yang berwarna putih. Jika kita mampu untuk menguruskan jenazah kita sendirian, memandikan diri sendiri, mengkafan dan bergolek sendiri ke kubur, maka saya fikir layaklah untuk kita sombong. Tetapi soalannya adakah benar-benar kita mampu berbuat demikian? Jawapannya sudah tentu tidak. Kita tetap memerlukan bantuan daripada orang lain untuk menguruskan jenazah kita. 

Walaubagaimanapun, ketahuilah bahawa sombong di sisi Allah adalah satu sifat yang wajib bagi Allah. Salah satu nama Allah adalah mutakabbir (sombong). Allah menghendaki hanya Dia sahaja yang layak untuk meninggi diri. Sedangkan manusia hendaklah menjauhkan sifat tersebut dan hadirkan sifat tawaduk dalam diri masing-masing. 

Manusia pada hari ini dipandang mulia dengan banyaknya harta, besarnya pangkat dan kedudukan di sisi masyarakat. Oleh sebab itu, setiap orang perlu sedar akan hakikat bahawa semua yang mereka miliki adalah sementara dan akan disoal kelak oleh Allah S.W.T. Jadi dengan sebab itu janganlah kalian ada sifat sombong apabila berada di kedudukan yang tertinggi di tengah masyarakat. Jangan sombong dengan harta kekayaan yang kalian ada. Jangan sombong dengan pakaian, kereta mewah dan rumah besar yang kalian miliki ketika ini. Ini kerana ia akan menjadi beban pada kalian di akhirat kelak apabila disalahgunakan dengan cara yang betul. Ingatlah ketika mana Nabi S.A.W naik ke langit di dalam peristiwa isra' dan mikraj. Ketika mana nabi S.A.W di bawa oleh malaikat jibril A.S melawat syurga dan neraka, apa yang dilihat oleh Baginda di dalam neraka adalah ramainya orang-orang kaya dan kaum wanita. Manakala di dalam syurga pula ramainya orang-orang miskin. Tidakkah ini menjadikan pengajaran kepada kita semua supaya beringat dengan kekayaan yang kita miliki. 



Bagaimana cara untuk kita mengikis sifat sombong dalam diri? 


1. Perbanyakkan berdoa

Doa merupakan senjata yang paling kuat untuk kita mengubah diri. Nabi S.A.W bersabda mafhumnya, "doa adalah senjata bagi orang-orang beriman". Maka, gunakanlah senjata yang kita ada untuk memohon bantuan daripada Allah S.W.T. Mohon agar Allah jauhkan sifat sombong dengan doa berikut :

"Allahumma inni auzubika minal kibri"
Ya Allah, Aku mohon perlindungan dengan-Mu dari sifat sombong




2. Ingat akan kematian.


 عن أبي هريرة رضي الله  عنه  قال,
 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أكثروا ذكر هاذم الذات, الموت

Dari abu hurairah Raiallahu Anhu berkata, telah bersaba Rasulullah S.A.W bersabda : "perbanyaklah mengingati perosak kelazatan iaitu mati" 

[ HR At Tirmidzi : 2307 ,An Nasa`I : 414 , Ibnu Majah : 4258 , Ahmad : 2/293 ]

Dengan mengingati mati, kita akan zuhud pada dunia dan akhirnya akan mengikis sedikit demi sedikit sifat sombong dalam diri kita. Kadang-kadang orang yang sombong ni susah untuk berubah kerana mereka merasakan bahawa mereka akan hidup sampai bila-bila. Mereka merasakan harta mereka boleh beli segalanya. Mereka merasakan dengan kuasa yang mereka ada, mereka mampu untuk mengubah segalanya. Ingatlah peristiwa sejarah di mana Qarun yang ditelan oleh bumi disebabkan bongkak dengan hartanya yang banyak. Begitu juga dengan firaun yang telah ditenggelamkan Allah ke dasar laut akibat sifat sombong dengan kuasanya. Mereka semuanya mati dalam keadaan sombong. Jadikanlah kisah mereka ini sebagai tauladan kerana apabila Allah mematikan sahaja kita maka akan lenyaplah segala yang kita ada melainkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh. Berbahagialah mereka yang mempunya ketiga-tiga aset ini.


3. Banyak merenung kekurangan yang kita miliki.

Teringat saya akan lagu iwan dangdut yang berbunyi seperti berikut :

lihatlah gunung yang tinggi, subhanallah, itu Allah yang punya,
lihatlah pantai yang indah, subhanallah, itu Allah yang punya,
tiada yang engkau punya,
semuanya Allah punya.

Benarlah apa yang dikatakan dalam lirik lagu tersebut. Semua yang ada dalam dunia ini adalah milikNya semata-mata. Kita hanya meminjam sementara pemberian daripada Allah. Dalam diri kita juga banyak kekurangannya. Kita rasa kita dah pandai, rupanya ada lagi orang yang lebih pandai dan cerdik dari kita. Mereka belajar sehingga ke menara gading. Kita rasa kita dah cukup kaya, rupanya ramai lagi yang lebih kaya dari kita, dengan rumah banglo mewahnya bertingkat-tingkat, duitnya berlipat-lipat, keretanya berkilat-kilat dan isterinya kadang-kadang sampai empat. Kita rasa kita dah cukup kuat, rupanya ada yang lebih kuat dari kita. Kita rasa kita dah cukup cantik rupanya ada yang lebih cantik dari kita. Kita rasa kita dah tinggi ilmunya, rupa-rupanya ramai lagi yang lebih alim dan berilmu lebih daripada kita. Begitulah hakikatnya diri kita. Kita serba kekurangan. Semua orang pernah merasa sakit dan perlukan bantuan pakar perubatan  atau sekurang-kurangnya memakan ubat untuk menyembuhkan sakit yang dialami. Semua orang akan lapar dan dahaga dan memerlukan makan minum yang berkhasiat untuk hilangkan lapar dan dahaga tersebut. Semua orang akan mengalami pelbagai masalah dan memerlukan bantuan daripada sesiapa untuk selesaikan masalah tersebut. Jadi mengapa perlu sombong dengan kekurangan-kekurangan yang kita ada. Manusia itu sememangnya dilahirkan dengan keadaan serba kekurangan dan hanya Allah sahaja sebaik-baik pemberi.


4. Berkawanlah dengan orang-orang yang tawadhuk (rendah diri).

Nabi S.A.W bersabda mafhumnya, 

"seseorang itu adalah mengikut agama temannya. Oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya".

-Hadis Abu Dawud-

Sahabat adalah cerminan kepada diri kita. Carilah sahabat yang akan membawa kita ke syurga. Bersahabat dengan mereka yang baik sudah tentu kita akan dilihat baik. Manakala sebaliknya bersahabat dengan orang jahat, kita perlahan lahan akan mengikuti kejahatan mereka. Bagi menjadikan diri kita terhindar dari sifat sombong, maka hendaklah kita bersahabat dengan mereka yang tawadhuk. Ramai di luar sana mempunyai sifat sebegini. Kebanyakan para sahabat Nabi R.A adalah orang-orang yang tawadhuk. Salman Al-Farisi r.a. tergolong sebagai salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang begitu tawadhuk. Beliau berasal dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri serta zuhud terhadap kemewahan dunia.

Pada suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja yang berat. Orang itu menjumpai Salman ketika berada di tepi jalan. Ia mempunyai sebuah karung besar lalu menyuruh Salman memikulnya sampai ke rumah. Tanpa banyak soal Salman terus memikulnya. Di pertengahan jalan, seorang lelaki telah memberi salam kepadanya. Alangkah terkejutnya melihat Salman memikul karung. Lalu berkata: "Wahai tuan! Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung tuan itu adalah Salman Al-Farisi, Amir negeri kita ini." Terkejut lelaki itu mendengarnya, apabila dikenangkan orang yang dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri. Lantas dia meminta maaf lalu meminta Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi Salman menjawab: "Oh, tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul barang tuan ini hingga sampai ke rumah tuan". Demikianlah ketinggian budi pekerti Salman Al-Farisi r.a., salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang tawadhuk dan tidak mementingkan darjat kedudukan.

Begitulah sikap dan peribadi orang yang tawadhuk. Tidak sombong dengan apa yang mereka miliki. Sahabat seperti ini yang harus kita teladani dan dijadikan teman. Mudah-mudahan asbab bersahabat dengan orang-orang seperti ini akan menjadikan diri kita seperti mereka.

Wallahualam...

Sesiapa yang mahu membeli buku-buku ilmiah keluaran JAKIM boleh hubungi saya di talian :

whatsapp/call/sms :

014-3834430

Diskaun menanti anda untuk pembelian 
10 buah buku ke atas... 

Jangan lepaskan peluang!!!

MUHASABAH

Image result for muhasabah diri





Setiap manusia dilahirkan di dunia ini tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W ; كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ , yang bermaksud: "setiap anak adam itu berdosa, dan sebaik baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat". Maka oleh sebab itu, sebagai hamba Allah sudah pasti kita harus bermuhasabah diri agar kita sentiasa sedar akan dosa atau kesilapan yang telah kita lakukan.

Muhasabah diri perlu dilakukan setiap hari kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan datang menjemput. Mudah-mudahan dengan bermuhasabah, kita sempat untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah S.W.T

Sepertimana yang kita tahu, muhasabah itu adalah muhasabah atas dosa sahaja. sedangkan muhasabah itu boleh diperluaskan lagi fahamannya dengan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu antaranya ialah muhasabah masa, muhasabah harta benda dan muhasabah amalan.


Muhasabah Masa

Masa merupakan hamba Allah yang sentiasa taat akan perintahNya. Masa tidak pernah mendahului arahan Allah S.W.T. Setiap masa yang berlalu seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat yang dapat membawa kita ke syurga Allah S.W.T. Cuba kita muhasabah masa yang telah diberi oleh Allah S.W.T. Semua orang diberi masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Tetapi mengapa masih ada yang mengeluh dengan memberi pelbagai alasan termasuklah alasan masa tidak cukup untuk menyiapkan kerja yang telah diberi dan sebagainya. Ramai yang lalai dengan dunia sehingga mereka lupa asal tujuan hidup mereka iaitu beribadah kepada Allah S.W.T. Ramai yang lupa bahawa dunia adalah tempat mereka bermusafir dan mereka akan kembali semula ke tempat asal iaitu syurga mahupun neraka yang mereka akan hidup kekal ke dalamnya berdasarkan amalan masing-masing. Makin hari umur kita makin berkurang. Jadi muhasabah lah masa kalian semua agar kita beringat bahawa setiap saat yang diberikan Allah terhadap kita akan dinilai oleh Allah di akhirat kelak.


Firman Allah S.W.T :

-وَالْعَصْرِ- إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ  
 إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran” 


Muhasabah Harta Benda

Harta benda adalah perkara yang sangat bernilai yang dicintai oleh setiap manusia. Semua orang inginkan harta yang melimpah ruah. Jika diceritakan kepada sesiapa sahaja di dunia ini tentang harta, sudah barang tentu mereka akan menyukainya. Itulah nafsu manusia yang sentiasa cinta akan harta yang memang telah menjadi lumrah ke atas semua manusia di atas muka bumi ini sejak azali lagi. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah at-takathur ayat yang pertama dan kedua yang bermaksud : "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh - Sehingga kamu masuk ke dalam kubur...". 

Islam tidak melarang untuk kita mengumpul harta sebanyak manapun kerana itu adalah hak dan keinginan masing-masing. Barang siapa berusaha dengan bersungguh-sungguh, maka sudah pasti Allah akan memberikan limpah kurniaNya atas usaha yang telah dilakukan oleh mereka. Tetapi kita perlu ingat bahawa setiap pemberian Allah taala itu samada sedikit mahupun banyak, ia bukanlah milik kita semuanya. Ada insan lain yang berhak ke atas harta yang kita ada. Jadi muhasabah lah mengenai harta kita dengan memberikan infak, sedekah dan membantu orang-orang disekeliling kita yang memerlukan tambahan lagi disaat kita sedang diuji oleh Allah dengan kesusahan. Tidak yakinkah kita dengan janji Allah yang bermaksud ;

"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka (bersedekah) pada jalan Allah laksana sebiji (benih) yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan ganjaran-Nya kepada siapa yang disukai-Nya dan Tuhan itu Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." ( Al Baqarah : 261 )


Muhasabah Amalan 

Tanggungjawab kita sebagai manusia yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T adalah tidak lain tidak bukan semata-mata untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah taala. Ia boleh diterjemahkan dengan amalan seharian yang kita lakukan dari segi solat, puasa, zakat dan ibadah-ibadah umum yang lain. Oleh itu, jadikanlah semua perkara dalam hidup  kita sebagai ibadah kerana ianya sudah pasti akan mendapat ganjaran di sisi Allah S.W.T. Setiap hari kita wajib untuk muhasabah amalan kita. Ini kerana ia ada kaitan dengan iman seseorang. Pernah kita dengar kenyataan bahawa iman itu ada masa naik dan ada masa turun. Dengan muhasabah amalan setiap hari akan memastikan iman kita sentiasa stabil dan diharapkan ia dapat membantu kita agar sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan seharian.

Muhasabah lah amalan solat kita. Berapa banyak solat yang kita telah tinggalkan? Adakah telah diganti atau belum? jika belum, gantilah segera.. Bagaimana pula dengan solat berjemaah? Kenalkah kita akan tok imam dan bilal masjid qariah kita? Atau kita sekadar singgah di masjid-masjid atau surau hanya untuk melepaskan hajat sahaja? 

Perkara-perkara ini kita hendaklah perhatikan dan ambil berat kerana ia melibatkan hubungan kita dengan Allah taala. Jika Allah suka pada kita, semua penduduk bumi dan langit akan suka pada kita. Jadi, jagalah Allah.. Allah akan pasti jaga kita. Sayangilah diri kita, keluarga kita, dan kawan-kawan kita. Ajaklah mereka untuk sama-sama muhasabah dengan amalan masing-masing sebab hanya itu yang Allah akan nilai bila kita telah meninggalkan dunia yang fana' ini.

Wallahualam.. tulisan ini sekadar perkongsian dari hamba yang masih kurang ilmunya.. Allahuma faqihna fiddiin wa 'alimna takwil. Aminn..