Title:

mobicow

HUKUM MANDI MALAM

Soalan: Adakah terdapat dalil daripada al-Qur’an, hadith atau athar tentang larangan mandi pada waktu malam?

Jawapan daripada Pejabat Mufti Wilayah :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Islam merupakan satu agama yang amat menitikberatkan akan kebersihan dan Allah SWT amat suka akan hamba-hamba-Nya yang bersih. Mandi juga merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri. Tambahan pula, Allah SWT juga memerintahkan kita untuk mandi sebagaimana terdapat di dalam al-Qur’an:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi (bersuci)”. [al-Nisa’:43]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati ayat al-Qur’an, hadith dan juga athar daripada para sahabat berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Untuk itu, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila sahaja yang kita kehendaki kerana tidak ada dalil berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat daripada kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak). Hal ini ada dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:

وَيُكْرَهُ دُخُولُهُ قُبَيْلَ الْغُرُوبِ وَبَيْنَ الْعِشَاءَيْنِ لِأَنَّهُ وَقْتُ انْتِشَارِ الشَّيَاطِينِ
Maksudnya: “Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran”. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 224/1]

Melihat kepada nukilan di atas, sebaik-baiknya kita cuba untuk menjauhi dan tidak memasuki tandas pada dua waktu tersebut melainkan ketika berhajat kepadanya. Tambahan pula, tandas atau mandi telah menjadi satu keperluan bagi setiap manusia contohnya apabila hendak membuang air dan melakukan mandi wajib.

Hikmah Pensyariatan Mandi
Di sini kami sertakan beberapa hikmah pensyariatan mandi berdasarkan kitab fiqh al-Manhaji. Mandi mempunyai hikmah dan faedah yang banyak, antaranya ialah:

  • Mendapat pahala
Mandi mengikut pengertian syara’ adalah ibadat. Hal ini kerana melaksanakan perintah syara’ dan beramal dengan hukumnya. Ia diberikan pahala yang besar. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ 
Maksudnya: “Bersuci adalah sebahagian daripada iman”. [Riwayat Muslim (222)]

Bersuci ini pula termasuk wudhu’ dan mandi.

  • Menghasilkan kebersihan
Apabila seseorang muslim itu mandi, dia dapat membersihkan kotoran yang melekat pada badan atau peluh yang keluar daripada tubuh. Tubuh badan yang bersih ini boleh menghindarinya daripada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit. Bau tubuh badannya pula menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama manusia.

Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah RA, katanya:

كَانَ النَّاسُ أَهْلَ عَمَلٍ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ كُفَاةٌ فَكَانُوا يَكُونُ لَهُمْ تَفَلٌ فَقِيلَ لَهُمْ لَوِ اغْتَسَلْتُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ. وَفِي رِوَايَةٍ لَهُمَا: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا 
Maksudnya: “Orang ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai pembantu, badan mereka berbau busuk, lalu dikatakan kepada mereka, elok kamu mandi pada hari Jumaat”. Dalam riwayat yang lain bagi al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Eloklah kamu bersuci pada hari ini (Jumaat)”. [Riwayat al-Bukhari (861) dan Muslim (847)]

  • Menghasilkan Kecergasan
Mandi boleh menjadikan tubuh badan cergas dan aktif, hilang rasa lesu dan malas terutamanya selepas berlaku sebab-sebab yang mewajibkannya mandi seperti jima’.

Penutup
Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa tiada dalil daripada al-Qur’an dan Sunnah berkaitan larangan mandi pada waktu malam. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menjaga kebersihan. Amin.

Wallahua’lam

KISAH TENTANG DOA



Ada seorang penjual tauhu yang setiap hari dia menjual dagangannya ke pasar. Untuk sampai ke pasar, dia perlu naik kenderaan awam. Manakala untuk sampai ke jalan raya, dia perlu melalui kawasan sawah.

Setiap pagi dia selalu berdoa kepada Allah agar tauhunya habis dijual.Begitulah setiap hari, sebelum berangkat berdoa terlebih dahulu dan pulang sebelah petang.

Suatu hari, ketika dia melalui sawah hendak menuju jalan raya utk naik kenderaan awam, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam petak sawah.
Habis semua tauhu jatuh ke sawah, hancur dan berselerak. Bukan sahaja untung, modal pun habis. Dia mengeluh kepada Tuhan, bahkan “menyalahkan” Tuhan, mengapa dia diberi cubaan seperti ini? Padahal dia selalu berdoa setiap pagi.

Akhirnya dia pun pulang tidak jadi berniaga hari itu.Tapi dua jam kemudian dia mendengar khabar, bahwa kenderaan awam yang setiap hari dia naiki pada pagi berkenaan telah jatuh ke dalam gaung. Semua penumpangnya terkorban ! Dia terselamat dari nahas tersebut kerana terpaksa membatalkan perjalanannya ke pasar perniagaannya, semua adalah disebabkan tauhunya jatuh ke sawah, sehingga dia tidak jadi untuk berniaga pd hari itu dan membawa semua tauhu-tauhunya yg sudah rosak kembali ke rumah.

Tetapi pada sebelah petang, ada seorang penternak itik telah mencari dia dan hendak membeli tauhu utk makanan itik tetapi yang anehnya penternak itik itu mencari tauhu yg rosak kerana ia hanya utk dicampurkan dan dimakan oleh itik sahaja..spontan penternak itu menangis kerana tauhunya yang rosak hendak dibeli semuanya oleh peternak itik itu..

Pengajaran : Doa tidak semestinya dimakbulkan sesuai dengan permintaan, tapi kadangkala ia diganti oleh Allah dengan sesuatu yang jauh lebih baik daripada yang diminta. Allah Maha Mengetahui keperluan kita, berbanding diri kita sendiri.

Kerana itu, janganlah jemu berdoa, juga jangan sekali merungut protes dan mengeluh, apalagi mengutuk! “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Tuhan mengetahui, sedang manusia tidak mengetahui”.

Mulakan hari kita dengan indah. Sahaja aku mulakan kehidupanku hari ini kerana Allah Taala.

BERSEDEKAHLAH

Ketika  seorang yang telah sampai saat kematian, ia minta ditangguhkan kematian agar dapat bersedekah...

وَاَنْفِقُوْا مِنْ مَّا رَزَقْنٰكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ  يَّأْتِيَ اَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُوْلَ رَبِّ لَوْلَاۤ اَخَّرْتَنِيْۤ اِلٰٓى اَجَلٍ  قَرِيْبٍ ۙ  فَاَصَّدَّقَ وَاَكُنْ مِّنَ الصّٰلِحِيْنَ

"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh".
(Al-Munafiqun: 10)

Ramai manusia kufur setelah diberi nikmat...

وَاِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِى الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُوْنَ اِلَّاۤ اِيَّاهُ   ۚ  فَلَمَّا نَجّٰٮكُمْ اِلَى الْبَرِّ اَعْرَضْتُمْ    ؕ  وَكَانَ الْاِنْسَانُ كَفُوْرًا

"Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)."
(Al-Isra': 67)

Hebatnya sedekah...

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ قَبْلَ أَنْ تَمُوتُوا وَبَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ الصَّالِحَةِ قَبْلَ أَنْ تُشْغَلُوا وَصِلُوا الَّذِي بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ رَبِّكُمْ بِكَثْرَةِ ذِكْرِكُمْ لَهُ وَكَثْرَةِ الصَّدَقَةِ فِي السِّرِّ وَالْعَلَانِيَةِ تُرْزَقُوا وَتُنْصَرُوا وَتُجْبَرُوا

Dari Jabir bin Abdullah ia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di hadapan kami, beliau mengatakan: Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati, bersegeralah beramal soleh sebelum kamu sibuk, dan sambunglah antara kamu dengan Rabb kamu dengan memperbanyak zikir kepadaNya, banyak sedekah dengan sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan. Nescaya kamu akan diberi rezeki, dibantu dan dicukupi.
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Dari 'Ubaidallah bin 'Uqbah bahwa Ibnu 'Abbas radliallahu 'anhuma berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah orang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan.

Jangan diungkit setiap pemberian sedekah kita...

يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تُبْطِلُوْا صَدَقٰتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْاَذٰى

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti,."
(Al-Baqarah:264)

Sumber : Dakwah Terminal

HUKUM KETUA RUMAH MENGAMBIL UPAH DALAM SEWA RUMAH

Baru - baru ini tular di media sosial berkaitan bisnes / perniagaan rumah sewa di mana seseorang menyewa sebuah rumah, kemudian bilik-bilik di dalam rumah tersebut disewakan semula kepada pihak lain dengan harga-harga tertentu. Kita tengok apa ulasan SS Dato' Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara ini. Saya copy&paste terus dari website Pejabat Mufti Wilayah di sini.

SOALAN
Apakah hukum jika seorang yang dilantik menjadi ketua rumah oleh pemilik rumah, lalu ketua rumah tersebut mengambil upah di atas kerja-kerja yang dilakukannya seperti mengutip sewa dan membayar bil? Mohon penjelasan.

JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Antara maqosid al-Syariah yang lima yang perlu dijaga di dalam agama Islam ialah menjaga harta (hifz al-mal). Harta disenaraikan sebagai perkara dharuriyyat kerana harta adalah keperluan kepada seluruh manusia untuk mencapai sesuatu perkara seperti makan, minum, tempat tinggal dan lain-lain. Justeru, perkara seperti ini amat dijaga di dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”
(Surah al-Baqarah : 188)

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.”
Riwayat al-Bukhari (6043)

Merujuk kepada persoalan di atas, di mana ketua rumah tersebut mengambil upah di atas kerja-kerja yang dilakukan seperti mengutip sewa dari semua ahli rumah, membayar bil-bil dan sebagainya. Kehidupan di rumah sewa yang perlu kepada organisasi dalam menguruskan hal-hal rumah sewa perlu diwujudkan bagi memudahkan perjalanan rumah sewa tersebut. Dalam aspek tersebut, penekanan kepada perkara-perkara yang melibat wang seperti sewa rumah perlu diteliti dengan baik supaya tidak berlaku penindasan kepada ahli-ahli rumah. Firman Allah SWT:

إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya : “..kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..”
(Surah al-Nisa’ :  29)

Penindasan hak harta seseorang mungkin akan berlaku jika sehingga timbul perasaan tidak berpuas hati serta saling tidak meredai dalam kalangan manusia.  Penerangan berkaitan perihal rumah sewa perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada setiap penyewa agar tidak timbul isu tidak meredai atau tidak berpuas hati di kalangan ahli rumah. Begitu juga berkenaan pelantikan ketua rumah tersebut yang disertai dengan upah yang di ambil dari duit sewaan ahli rumah yang lain perlu juga dinyatakan dengan jelas kepada semua ahli rumah.

KESIMPULAN
Dalam isu ini kami berpandangan bahawa perlu diadakan perbincangan di antara ahli rumah dan pemilik rumah dalam menentukan kaedah pembayaran wang sewa kepada tuan rumah. Dibenarkan dan dibolehkan kepada ketua rumah untuk mengambil upah tersebut jika telah disepakati dan diredai oleh ahli rumah yang lain. Namun sebaliknya, jika dibangkang atau tidak diredai oleh sesama ahli rumah, maka hukumnya di sini adalah haram untuk mengambil harta daripada wang pembayaran sewa rumah tersebut sebagai upah kepada ketua rumah. Perkara  ini kerana uruf melihat bahawa kerja-kerja seperti mengutip sewa kebiasaannya tidak memerlukan kepada upah terhadap pengutipnya. Namun begitu, tuan rumah boleh melantik ketua rumah tersebut dan membayar sendiri upah tersebut dengan hartanya sendiri.

Wallahu’alam.

Bidayatul Hidayah : Bab Menasihati Diri

Berbicara tentang nasihat, aku melihat diriku tidak layak untuk memberikannya. Sebab, nasihat seperti zakat. Nisab-nya adalah mengambil nasihat atau pelajaran un­tuk diri sendiri. Siapa yang tidak sampai pada nisab, bagaimana ia akan mengeluarkan zakat? Orang yang tidak memiliki cahaya tidak mungkin dijadikan alat penerang oleh yang lain. Bagaimana bayangan akan lurus bila kayunya bengkok? Allah Swt. mewahyukan kepada Isa bin Maryam, “Nasihatilah dirimu! Jika engkau telah mengambil nasihat, maka nasihatilah orang lain. Jika tidak, malulah kepada-Ku.” Nabi kita saw bersabda, “Aku tinggal­kan untuk kalian dua pemberi nasihat: yang berbicara dan yang diam.”
Pemberi nasihat yang berbicara adalah Al-quran, se­dangkan yang diam adalah kematian. Keduanya sudah cukup bagi mereka yang mahu mengambil nasihat. Siapa yang tidak mahu mengambil nasihat dari keduanya, bagai­mana ia akan menasihati orang lain? Aku telah menasihati diriku dengan keduanya. Lalu aku pun membenar­kan dan menerimanya dengan ucapan dan akal, tetapi tidak dalam kenyataan dan perbuatan. Aku berkata pa­da diri ini, “Apakah engkau percaya bahawa Al-quran merupakan pemberi nasihat yang berbicara dan juru na­sihat yang benar, serta merupakan kalam Allah yang di­turunkan tanpa ada kebatilan, baik dari depan mahupun dari belakangnya?” Ia menjawab, “Benar.” Allah Swt. berfirman, “Siapa yang menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepadanya balasan amal perbuatan mereka di dunia dan mereka di dunia ini tidak akan dirugikan. Mereka itulah yang tidak akan memperoleh apa-­apa di akhirat kecuali neraka. Dan gugurlah semua amal per­buatan mereka serta batallah apa yang mereka kerjakan” (Q.S. Hud: 15-16).
Allah Swt. menjanjikan neraka bagimu kerana eng­kau menginginkan dunia. Segala sesuatu yang tidak me­nyertaimu setelah mati, adalah termasuk dunia. Apakah engkau telah membersihkan diri dan keinginan dan cin­ta pada dunia? Seandainya ada seorang doktor Nasrani yang memastikan bahawa engkau akan mati atau sakit jika memenuhi nafsu syahwat yang paling menggiur­kan, niscaya engkau akan takut dan menghindarinya. Apakah engkau lebih percaya dengan doktor Nasrani itu lebih daripada engkau percaya akan Allah SWT? Jika itu terjadi, betapa kufurnya engkau! Atau apakah menurutmu penyakit itu lebih hebat dibandingkan neraka? Jika demikian, betapa bodohnya engkau ini! Engkau membenarkan tapi tidak mahu mengam­bil pelajaran. Bahkan engkau terus sahaja condong kepada dunia. Lalu aku datangi diriku dan kuberikan padanya juru nasihat yang diam (kematian). Kukatakan, “Pemberi nasihat yang berbicara (Al-quran) telah memberi­tahukan tentang pemberi nasihat yang diam (kematian), yakni ketika Allah berfirman, ‘Sesungguhnya kematian yang kalian hindari akan menjumpai kalian. Kemudian kalian akan dikembalikan kepada alam ghaib. Lalu Dia akan memberi­tahukan kepada kalian tentang apa yang telah kalian kerjakan’ (Q.S. al-Jumuah: 8).” Kukatakan padanya, “Engkau telah condong pada dunia. Tidakkah engkau percaya bahawa kematian pasti akan mendatangimu? Kematian tersebut akan memutuskan semua yang kau punyai dan akan merampas semua yang kau senangi. Setiap sesuatu yang akan datang adalah sangat dekat, sedangkan yang jauh adalah yang tidak pernah datang. Allah Swt. berfirman, ‘Bagaimana pendapatmu jika Kami berikan kenikmatan pada mereka selama beberapa tahun? Kemudian datang pada me­reka seksa yang telah dijanjikan untuk mereka? Tidak berguna bagi mereka apa yang telah mereka nikmati itu.’ (Q.S. asy­Syuara: 205-206).”
Jiwa yang merdeka dan bijaksana akan keluar dari dunia sebelum ia dikeluarkan darinya. Sementara jiwa yang lawwamah (sering mencela) akan terus memegang dunia sampai ia keluar dari dunia dalam keadaan rugi, menyesal, dan sedih. Lantas ia berkata, “Engkau benar.” Itu hanya ucapan belaka tapi tidak diwujudkan. Kerana, ia tidak mahu berusaha sama sekali dalam membekali diri untuk akhirat sebagaimana ia merancang dunianya. Ia juga tidak mahu berusaha mencari redha Allah SWT sebagai­mana ia mencari redha dunia. Bahkan, tidak sebagaimana ia mencari redha manusia. Ia tak pernah malu kepada Allah sebagaimana ia malu kepada seorang manusia. Ia tidak mengumpulkan persiapan untuk negeri akhirat se­bagaimana ia menyiapkan segala sesuatu untuk meng­hadapi musim kemarau. Ia begitu gelisah ketika berada di awal musim dingin manakala belum selesai mengum­pulkan kelengkapan yang ia perlukan, pa­dahal kematian barangkali akan menjemputnya sebelum musim dingin itu tiba. Kukatakan padanya, “Bukankah engkau bersiap-siap menghadapi musim kemarau sesuai dengan lama waktunya lalu engkau membuat perleng­kapan musim kemarau sesuai dengan kadar ketahanan­mu menghadapi panas?” Ia menjawab: “Benar.” “Kalau begitu”, kataku, “Bermaksiatlah kepada Allah sesuai de­ngan kadar ketahananmu menghadapi neraka dan ber­siap-siaplah untuk akhirat sesuai dengan kadar lamamu tinggal di sana.” Ia menjawab, “Ini merupakan kewa­jiban yang tidak mungkin diabaikan kecuali oleh seorang yang dungu.” Ia terus dengan tabiatnya itu. Aku seperti yang disebutkan oleh para ahli hikmat, “Ada segolongan manusia yang separuh dirinya telah mati dan separuhnya lagi tidak tercegah.”
Aku termasuk di antara mereka. Ketika aku melihat diriku keras kepala dengan perbuatan yang melampaui batas tanpa mahu mengambil manfaat dari nasihat ke­matian dan Al-quran, maka yang paling utama harus dilakukan adalah mencari sebabnya disertai pengakuan yang tulus. Hal itu merupakan sesuatu yang menakjubkan. Aku terus-menerus mencari hingga aku menemukan sebabnya. Ternyata aku terlalu tenang. Oleh ka­rena itu berhati-hatilah darinya. Itulah penyakit kronik dan sebab utama yang membuat manusia tertipu dan lupa iaitu keyakinan bahawa maut masih lama. Sean­dainya ada orang jujur yang memberikan khabar pada seseorang di siang hari bahwa ia akan mati pada malam nanti atau ia akan mati seminggu atau sebulan lagi, niscaya ia akan istiqamah berada di jalan yang lurus dan pastilah ia meninggalkan segala sesuatu yang ia anggap akan menipunya dan tidak mengarah kepada Allah SWT.
Jelaslah bahwa siapa yang memasuki waktu pagi sedang ia berharap bisa mendapati waktu petang, atau sebaliknya siapa yang berada di waktu petang lalu berharap bisa mendapati waktu pagi, maka sebenarnya ia lemah dan menunda-nunda amalnya. Ia hanya bisa berjalan dengan tidak berdaya. Kerana itu, aku nasihati orang itu dan diriku juga dengan nasihat yang diberikan Rasulullah saw ketika baginda bersabda,”Solatlah seperti solat­nya orang yang akan berpisah (dengan dunia).” Beliau telah diberi kemampuan berbicara dengan ucapan yang singkat, padat, dan tegas. Itulah nasihat yang berguna.
Siapa yang menyedari dalam setiap solatnya bahawa solat yang ia kerjakan merupakan solat terakhir, maka hatinya akan khusyuk dan dengan mudah ia bisa mem­persiapkan diri sesudahnya. Tapi, barang siapa yang tidak bisa melakukan hal itu, ia sentiasa akan lalai, tertipu, dan selalu menunda-nunda hingga kematian tiba. Hingga pada akhirnya ia menyesal kerana waktu telah tiada.
Aku harap ia memohonkan kepada Allah agar aku diberi kedudukan tersebut kerana aku ingin meraihnya tapi tidak mampu. Aku juga mewasiatkan padanya agar hanya redha dengannya dan berhati-hati terhadap pelbagai tipu daya yang ada. Penipuan jiwa hanya boleh diketahui oleh mereka yang pandai.

Sumber : Terjemahan Kitab Bidayatul Hidayah, Imam Al-Ghazali