Title:

mobicow

AMALAN YANG DIKASIHI ALLAH DAN MANUSIA

Dari Abi al-Abbas Sahl bin Sa'd al-Saidiy r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W lalu berkata: Ya Rasulullah! Tunjukkanlah kepada aku suatu amal yang apabila aku kerjakannya, dikasihi aku oleh Allah dan dikasihi aku oleh manusia. Kemudian Rasulullah berkata: hendaklah zahid pada dunia, nescaya engkau dikasihi Allah, dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, nescaya engkau dikasihi oleh manusia. 

Hadith ini hasan, diriwayatkan Ibn Majah dan lainnya dengan sanad2 yang baik.

Apakah yang dimaksudkan zahid pada dunia?

Zahid menurut bahasa ialah berpaling dari suatu atau tiada menghendaki kepada suatu kerana tiada mutu dan nilaiannya. Menurut istilah syara', ialah mengambil sekadar yang perlu dari suatu yang diyakini halalnya. Ramai para ulama telah membahaskan berkaitan pengertian dan tafsiran perkataan zahid itu sendiri. Imam ghazali menyatakan bahawa "bukanlah orang yang zahid itu orang yang tidak berharta. Tetapi orang yang zahid itu ialah orang yang tiada dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya belaka". Saiyidina Ali juga pernah berkata "kalau seorang lelaki mengambil sekalian apa yang ada dipermukaan bumi ini dengan maksud semata-mata kerana Allah, maka bukan ia dari orang yang gemarkan dunia." 

Maka apa yang dapat difahami adalah zahid pada dunia itu adalah bukan bermaksud menolak dunia dengan membuta tuli. Malah sanggup hidup susah di dunia kerana mencari kesenangan akhirat semata-mata. Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menghalang para sahabat untuk mencari kekayaan di dunia. Ramai para sahabat yang kaya dan hartawan yang akhirnya melalui harta kekayaan itulah mereka mengakkan Islam dan membelanjakannya untuk agama Allah. Zahid dunia yang dimaksudkan adalah lebih jelas sepertimana dalam hadis nabi s.a.w yang bermaksud "bukanlah zahid pada dunia dengan mengharamkan yang halal dan tiada pula dengan mensia-siakan harta. Akan tetapi zahid padanya adalah engkau lebih percaya kepada apa yang ada ditangan Allah lebih daripada apa yang ada ditangan engkau sendiri, dan dalah hal engkau dalam masa kesusahan sama seperti hal engkau dalam masa tiada kesusahan, dan adalah pula orang yang memuji dan mencela engkau dalam kebenaran sama saja dalam bagi engkau".

Hadith yang menyuruh seorang zahid pada dunia supaya dikasihi oleh Allah ini bererti bukanlah terus membenci dunia sesuka hati dengan kemahuan sendiri dan mencelanya secara membuta tuli. Malah perkara yang dimaksudkan adalah dengan cara menolak dan mencela tiap-tiap perkara yang boleh menjauhkan seorang daripada Allah dan melalaikan dia dari mematuhiNya dan beribadat kepadaNya sehingga melupakan kewajipan kepada Allah. Orang yang dikasihi Allah ialah orang yang benci kepada suatu yang dibencinya dan zahid pada perkara yang melalaikannya, dan tidaklah ia membuangkan dunia itu kononnya unuk dikasihi Allah; kerana dunia adalah jalan ke akhirat.

Apakah yang dimaksudkan dengan zahid pada sisi manusia?

Berkata al Hassan: "seorang lelaki sentiasa mulia dalam pandangan manusia selama ia tidak tamak kepada suatu yang ada di tangan mereka. Tetapi kalau ia mahu dan tamak kepada suatu itu mereka pun terus memandangnya hina, dan membenci perkataanya". Maka, zahid pada manusia bererti ia tidak mahu dan tidak meminta, tidak ingin dan tidak perlu kepada suatu yang ada pada tangan manusia. Sebagai contoh, kita melihat sahabat kita seorang yang kaya dan kita pun berbuat baik dengannya dengan tujuan untuk dapatkan kontrak dan sebagainya daripadanya atau dengan kata lain berkawan dan berbaik-baik dengan seseorang kerana ada udang disebalik mee, maka perbuatan ini adalah dicela. Di sini dapatlah difahami bahwa kemuliaan dan kehormatan peribadi seseorang adalah terletak pada sikap dirinya sendiri iaitu percaya dan yakin dengan kebolehan sendiri dan usaha yang telah dikerjakannya. Juga senang hati dengan apa yang diperolehi dan tidak berkehendak kepada suatu pemberian dari orang lain yang ia tidak berhak mendapatnya. Nescaya dengan cara ini sudah tentu ia akan dikasihi oleh manusia.


RINGKASAN TAZKIRAH BAB UJIAN

1. Ujian tanda kasih sayang Allah.
2. Manusia itu wujud memang bertujuan untuk diuji.
3. Hidup di dunia bukan untuk bersenang. Senang hanya di syurga.
4. Setiap manusia yang diuji adalah sebagai penghapus dosa untuknya.
5. Sakit merupakan salah satu ujian dari Allah.
6. Hidup di dunia bukan sekadar seronok tetapi ada juga musibah.
7. Bila diuji hendaklah kita bersabar dan berdoa.
8. Syurga itu luas seluas langit dan bumi.
9. Segala musibah dan ujian yang menimpa setiap manusia sudah tercatit. Ia hanya boleh diubah dengan doa.
10. Orang-orang yang ditimpa musibah hendaklah ucapkan inna lillah wa inna ilahi rajiun.
11. Syurga itu luas, seluas langit dan bumi.
12. Nabi2 dan rasul2 lebih lagi diuji oleh Allah kalau nk dibandingkan dengan kita. Mereka semua tidak kufur malah beryukur atas setiap ujian.
13. Jangan bermegah dan lupa diri dengan nikmat yang Allah bagi seperti pangkat, harta dan sebagainya. Semua itu adalah sementara sahaja.
14. Kita perlu sentiasa muhasabah diri tentang perjalanan hidup kita atas dunia ini supaya kita sedar bahawa kita adalah milik Allah.
15. Setiap apa yang berlaku ke atas diri kita adalah untuk menguji iman kita seterusnya menaikan martabat kita di sisi Allah s.w.t