Title:

mobicow

SEBAIK BAIK NAFKAH

Dari Tsauban r.a, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya, untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.” (Muslim)


Huraian hadis :
Firman Allah yang maksudnya:
”Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”(al-Baqarah: 261)

Sememangnya harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta.

Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi. Orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya.

Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.” Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah SWT. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, dia tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah SWT dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.

AMANAH DALAM PERKHIDMATAN


Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 58 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya..."

Rasulullah SAW bersabda " tidak sempurna iman seseorang yang tidak amanah dan tidaklah sempurna agama seseorang yang tidak dapat menepati janjinya".
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)


Amanah adalah kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga akan sesuatu perkara tidak kira sama ada ia bersifat nyata atau tidak nyata.

Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur. Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ia adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita.

AMANAH DALAM KERJA

* Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

* Tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.

Kita selalu dimaklumkan di media cetak dan media massa lain akan laporan kes-kes pecah amanah, penyalahgunaan wang organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang dilakukan oleh sebilangan pekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara kita.

Itu tidak termasuk perbuatan- perbuatan tidak amanah yang lain seperti curi tulang dengan tidur atau keluar minum sesuka hati dalam waktu kerja, membuat kerja luar ketika sedang bekerja, dan sebagainya. Tetapi sekiranya ada urusan yang penting tidak menjadi masalah umpamanya ke bank atau sakit dan sebagainya.

Ini merupakan amalan-amalan buruk semasa bekerja yang boleh mencacatkan kesempurnaan dan keberkatan bekerja.

Cuba fikirkan!!!
Apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita tidak melaksanakan kerja kita dengan beretika, amanah dan sebaik-baiknya?
Apakah berkat dan halal wang gaji yang kita peroleh itu untuk kita gunakan bagi menyara kehidupan isteri dan anak-anak?
Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

Wallahualam...

AKHLAK BERJIRAN


Sesungguhnya kita hidup di dunia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak akan dapat hidup bersendirian kerana kita memerlukan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat seperti kehidupan berjiran. Berbuat baik dengan jiran merupakan suatu tuntutan yang sangat diambil berat oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda mengaitkan perkara tersebut dengan iman seseorang sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Cuba kita sama-sama renung dalam kehidupan kita sekarang, sejauh manakah semangat berjiran itu kita hayati dan amalkan? Apakah kita telah mengenali jiran kita? Sebagai seorang Muslim kita hendaklah menjalinkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga kerana jiran umpama saudara yang dekat dan berada di kedudukan yang paling mudah untuk memberi atau meminta bantuan. Bahkan dengan adanya kemesraan dan sikap saling pemedulian sesama jiran, kita akan dapat menikmati kehidupan bermasyarakat yang aman bahagia dan harmoni serta jauh dari persengketaan dan permusuhan.

Sebenarnya dalam menjaga hubungan yang baik dengan jiran tetangga, kita hendaklah mengamalkan akhlak yang mulia sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama Islam dan dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Mengamalkan akhlak yang mulia itu merangkumi sikap bersopan santun dan berbudi bahasa seperti bertegur sapa dan bertanya khabar, menjaga perasaan, saling hormat-menghormati, berbaik sangka, membantunya ketika kesusahan, mengamalkan sikap saling tolong menolong, bersefahaman dan sebagainya.

Bagi mengekalkan hubungan yang baik kita janganlah sekali-kali menyakiti hati dan menyinggung perasaan mereka, baik dengan perkataan mahupun perbuatan dan tingkah laku. Oleh itu peliharalah diri kita dari bersifat dengki, pentingkan diri sendiri, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Apa yang penting juga kita hendaklah mengelak dari membuat sebarang perbuatan yang boleh menganggu ketenangan dan ketenteraman jiran seperti tidak menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal, membuat bising lebih-lebih lagi waktu larut malam, tidak menjaga binatang peliharaan sehingga berkeliaran memasuki kawasan jiran apatah lagi sampai membuat kotor atau merosakkan tanaman atau harta benda jiran dan sebagainya. Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Abi Syuraih Radiallahu Anhu Baginda bersabda maksudnya :

"Demi Allah orang itu tidak beriman, demi Allah orang itu tidak beriman, demi Allah orang itu tidak beriman. Lalu seorang lelaki pun bertanya siapakah orang itu wahai Rasulullah? Baginda pun menjawab : Orang yang jirannya tidak merasa aman dari kejahatannya".

Sebagai seorang Muslim kita dituntut untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan, begitulah juga dalam kehidupan berjiran. Jika kita mengetahui kesusahan yang dihadapi oleh jiran, kita hendaklah menghulurkan bantuan. Bantuan yang dimaksudkan bukan sahaja terbatas kepada bantuan berbentuk wang dan material sahaja bahkan termasuklah juga kerjasama dan sokongan dari kita, contohnya meminjamkan kawasan rumah, membersihkan kawasan sekitarnya dan sebagainya ketika jiran mengadakan majlis kenduri dan begitu juga kita hendaklah memberikan bantuan dan sokongan kepada jiran jika mereka ditimpa musibah seperti kematian, kebakaran dan sebagainya. Amalan sebegini dapat memupuk sikap hormat-menghormati dan berkasih sayang sesama jiran tetangga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma mengkhabarkan, sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara dengan orang Muslim yang lain, ia tidaklah boleh menganiayainya dan tidak boleh membiarkannya jatuh dalam kecelakaan. Dan barangsiapa yang memerlukan pertolongan kepada saudara muslimnya yang memerlukan pertolongan, maka Allah pasti akan memberikan pertolongan kepada orang yang menolong itu dalam perkara yang dihajatinya. Dan barangsiapa yang memberi kelonggaran kepada saudaranya itu dalam masa kesukaran, maka Allah pasti memberikan kelonggaran kepadanya dalam satu kesukaran dari kesukaran-kesukaran yang akan dialami olehnya nanti pada hari kiamat". (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Agama Islam telah mengajar umatnya supaya mengamalkan Amar Makruf Nahi Munkar iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari perbuatan munkar. Oleh itu jika kita mendapati jiran melakukan perkara yang salah, berbuat maksiat dan kemunkaran, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai seorang Muslim dan seorang jiran yang bertanggungjawab seperti memberi teguran dan nasihat dan sebagainya.

Namun tidak dinafikan terdapat sebilangan orang yang sukar untuk menerima teguran atau nasihat dari orang lain. Oleh itu jika kita memberi teguran dan nasihat, biarlah dengan tutur kata yang lembut dan berhemat, mudah-mudahan orang yang ditegur itu dapat menerima nasihat itu dengan baik. Manakala sebagai orang yang ditegur pula hendaklah menerima sebarang teguran dengan hati yang terbuka dan fikiran yang positif kerana nasihat yang baik itu tidak lain semata-mata untuk kebaikan diri sendiri jua.

Sesungguhnya untuk membina dan mengekalkan hubungan yang baik dengan jiran tetangga itu tidaklah terlalu sukar, apa yang penting kita hendaklah bersifat sabar, pemaaf dan mengamalkan budi pekerti yang mulia. Jika semua ini diamalkan dalam kehidupan berjiran, insya' Allah kita akan dapat mengecapi nikmat kehidupan yang aman tenteram, bahagia dan bersatu padu.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisaa' ayat 36 tafsirnya :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua : Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabur dan membangga-banggakan diri."