Title:

mobicow

MENGIKIS SIFAT SOMBONG


Related image

Sombong merupakan salah satu sifat mazmumah yang tidak harus ada dalam diri seorang manusia. Mengapa perlu sombong sedangkan kita semua akan kembali menghadap Allah S.W.T dalam keadaan yang sama iaitu berpakaian dengan kain kafan yang berwarna putih. Jika kita mampu untuk menguruskan jenazah kita sendirian, memandikan diri sendiri, mengkafan dan bergolek sendiri ke kubur, maka saya fikir layaklah untuk kita sombong. Tetapi soalannya adakah benar-benar kita mampu berbuat demikian? Jawapannya sudah tentu tidak. Kita tetap memerlukan bantuan daripada orang lain untuk menguruskan jenazah kita. 

Walaubagaimanapun, ketahuilah bahawa sombong di sisi Allah adalah satu sifat yang wajib bagi Allah. Salah satu nama Allah adalah mutakabbir (sombong). Allah menghendaki hanya Dia sahaja yang layak untuk meninggi diri. Sedangkan manusia hendaklah menjauhkan sifat tersebut dan hadirkan sifat tawaduk dalam diri masing-masing. 

Manusia pada hari ini dipandang mulia dengan banyaknya harta, besarnya pangkat dan kedudukan di sisi masyarakat. Oleh sebab itu, setiap orang perlu sedar akan hakikat bahawa semua yang mereka miliki adalah sementara dan akan disoal kelak oleh Allah S.W.T. Jadi dengan sebab itu janganlah kalian ada sifat sombong apabila berada di kedudukan yang tertinggi di tengah masyarakat. Jangan sombong dengan harta kekayaan yang kalian ada. Jangan sombong dengan pakaian, kereta mewah dan rumah besar yang kalian miliki ketika ini. Ini kerana ia akan menjadi beban pada kalian di akhirat kelak apabila disalahgunakan dengan cara yang betul. Ingatlah ketika mana Nabi S.A.W naik ke langit di dalam peristiwa isra' dan mikraj. Ketika mana nabi S.A.W di bawa oleh malaikat jibril A.S melawat syurga dan neraka, apa yang dilihat oleh Baginda di dalam neraka adalah ramainya orang-orang kaya dan kaum wanita. Manakala di dalam syurga pula ramainya orang-orang miskin. Tidakkah ini menjadikan pengajaran kepada kita semua supaya beringat dengan kekayaan yang kita miliki. 



Bagaimana cara untuk kita mengikis sifat sombong dalam diri? 


1. Perbanyakkan berdoa

Doa merupakan senjata yang paling kuat untuk kita mengubah diri. Nabi S.A.W bersabda mafhumnya, "doa adalah senjata bagi orang-orang beriman". Maka, gunakanlah senjata yang kita ada untuk memohon bantuan daripada Allah S.W.T. Mohon agar Allah jauhkan sifat sombong dengan doa berikut :

"Allahumma inni auzubika minal kibri"
Ya Allah, Aku mohon perlindungan dengan-Mu dari sifat sombong




2. Ingat akan kematian.


 عن أبي هريرة رضي الله  عنه  قال,
 قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أكثروا ذكر هاذم الذات, الموت

Dari abu hurairah Raiallahu Anhu berkata, telah bersaba Rasulullah S.A.W bersabda : "perbanyaklah mengingati perosak kelazatan iaitu mati" 

[ HR At Tirmidzi : 2307 ,An Nasa`I : 414 , Ibnu Majah : 4258 , Ahmad : 2/293 ]

Dengan mengingati mati, kita akan zuhud pada dunia dan akhirnya akan mengikis sedikit demi sedikit sifat sombong dalam diri kita. Kadang-kadang orang yang sombong ni susah untuk berubah kerana mereka merasakan bahawa mereka akan hidup sampai bila-bila. Mereka merasakan harta mereka boleh beli segalanya. Mereka merasakan dengan kuasa yang mereka ada, mereka mampu untuk mengubah segalanya. Ingatlah peristiwa sejarah di mana Qarun yang ditelan oleh bumi disebabkan bongkak dengan hartanya yang banyak. Begitu juga dengan firaun yang telah ditenggelamkan Allah ke dasar laut akibat sifat sombong dengan kuasanya. Mereka semuanya mati dalam keadaan sombong. Jadikanlah kisah mereka ini sebagai tauladan kerana apabila Allah mematikan sahaja kita maka akan lenyaplah segala yang kita ada melainkan 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh. Berbahagialah mereka yang mempunya ketiga-tiga aset ini.


3. Banyak merenung kekurangan yang kita miliki.

Teringat saya akan lagu iwan dangdut yang berbunyi seperti berikut :

lihatlah gunung yang tinggi, subhanallah, itu Allah yang punya,
lihatlah pantai yang indah, subhanallah, itu Allah yang punya,
tiada yang engkau punya,
semuanya Allah punya.

Benarlah apa yang dikatakan dalam lirik lagu tersebut. Semua yang ada dalam dunia ini adalah milikNya semata-mata. Kita hanya meminjam sementara pemberian daripada Allah. Dalam diri kita juga banyak kekurangannya. Kita rasa kita dah pandai, rupanya ada lagi orang yang lebih pandai dan cerdik dari kita. Mereka belajar sehingga ke menara gading. Kita rasa kita dah cukup kaya, rupanya ramai lagi yang lebih kaya dari kita, dengan rumah banglo mewahnya bertingkat-tingkat, duitnya berlipat-lipat, keretanya berkilat-kilat dan isterinya kadang-kadang sampai empat. Kita rasa kita dah cukup kuat, rupanya ada yang lebih kuat dari kita. Kita rasa kita dah cukup cantik rupanya ada yang lebih cantik dari kita. Kita rasa kita dah tinggi ilmunya, rupa-rupanya ramai lagi yang lebih alim dan berilmu lebih daripada kita. Begitulah hakikatnya diri kita. Kita serba kekurangan. Semua orang pernah merasa sakit dan perlukan bantuan pakar perubatan  atau sekurang-kurangnya memakan ubat untuk menyembuhkan sakit yang dialami. Semua orang akan lapar dan dahaga dan memerlukan makan minum yang berkhasiat untuk hilangkan lapar dan dahaga tersebut. Semua orang akan mengalami pelbagai masalah dan memerlukan bantuan daripada sesiapa untuk selesaikan masalah tersebut. Jadi mengapa perlu sombong dengan kekurangan-kekurangan yang kita ada. Manusia itu sememangnya dilahirkan dengan keadaan serba kekurangan dan hanya Allah sahaja sebaik-baik pemberi.


4. Berkawanlah dengan orang-orang yang tawadhuk (rendah diri).

Nabi S.A.W bersabda mafhumnya, 

"seseorang itu adalah mengikut agama temannya. Oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya".

-Hadis Abu Dawud-

Sahabat adalah cerminan kepada diri kita. Carilah sahabat yang akan membawa kita ke syurga. Bersahabat dengan mereka yang baik sudah tentu kita akan dilihat baik. Manakala sebaliknya bersahabat dengan orang jahat, kita perlahan lahan akan mengikuti kejahatan mereka. Bagi menjadikan diri kita terhindar dari sifat sombong, maka hendaklah kita bersahabat dengan mereka yang tawadhuk. Ramai di luar sana mempunyai sifat sebegini. Kebanyakan para sahabat Nabi R.A adalah orang-orang yang tawadhuk. Salman Al-Farisi r.a. tergolong sebagai salah seorang sahabat Nabi S.A.W. yang begitu tawadhuk. Beliau berasal dari negeri Parsi. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri serta zuhud terhadap kemewahan dunia.

Pada suatu hari, diriwayatkan seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja yang berat. Orang itu menjumpai Salman ketika berada di tepi jalan. Ia mempunyai sebuah karung besar lalu menyuruh Salman memikulnya sampai ke rumah. Tanpa banyak soal Salman terus memikulnya. Di pertengahan jalan, seorang lelaki telah memberi salam kepadanya. Alangkah terkejutnya melihat Salman memikul karung. Lalu berkata: "Wahai tuan! Tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung tuan itu adalah Salman Al-Farisi, Amir negeri kita ini." Terkejut lelaki itu mendengarnya, apabila dikenangkan orang yang dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri. Lantas dia meminta maaf lalu meminta Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi Salman menjawab: "Oh, tidak mengapa tuan. Biarlah saya memikul barang tuan ini hingga sampai ke rumah tuan". Demikianlah ketinggian budi pekerti Salman Al-Farisi r.a., salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang tawadhuk dan tidak mementingkan darjat kedudukan.

Begitulah sikap dan peribadi orang yang tawadhuk. Tidak sombong dengan apa yang mereka miliki. Sahabat seperti ini yang harus kita teladani dan dijadikan teman. Mudah-mudahan asbab bersahabat dengan orang-orang seperti ini akan menjadikan diri kita seperti mereka.

Wallahualam...

No comments:

Post a Comment